Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaffar
Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaffar
 
KUALA LUMPUR - Kerajaan sekali lagi menafikan gagal bertindak efektif dalam menangani  insiden pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu, awal tahun ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaffar berkata, kelewatan itu disebabkan siasatan memerlukan kerjasama negara asing dan siasatan polis tertumpu tujuan kemasukan terlebih dahulu.

“Setelah memulakan siasatan dan apabila polis diserang barulah diketahui kelompok ini bertujuan menceroboh dan mengganas. Namun penyiasatan juga melihat kepada hubungan dengan Filipina dalam semangat serantau,  sebab itu penyiasatan memakan masa lama kerana memerlukan kerjasama kedua negara.

“Jadi, dalam keadaan sedemikian kita perlu berhati-hati dan selepas tahu tujuan mereka, baru kerajaan hantar tentera” katanya menjawab soalan Datuk Bung Moktar Radin (BN - Kinabatangan).

Bung Mokthar mempersoalkan kelewatan kerajaan mengambil tindakan terhadap penceroboh dari selatan Filipina itu sehingga mencetuskan pelbagai persepsi.

Menurut Wan Junaidi, masyarakat juga perlu sedar keadaan pantai di Timur Sabah yang menjangkau 1,700km serta jarak yang begitu hampir antara Lahad Datu dan selatan Filipina sekali gus menyukarkan pasukan keselamatan mengawal keadaan.