Halaman

Isnin, 22 Februari 2016

Kerana Mahathir, Wawasan 2020 bakal berkubur, kata Musa

MALAYSIAKINI




Tun Musa Hitam berkata kesalahan perlu diletakkan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya Wawasan 2020 yang dicetuskan ketika zaman pemerintahannya itu gagal dicapai.

Ini kerana, bekas timbalan perdana menteri berkata Mahathir lupa bahawa jika Wawasan 2020 mahu dijayakan, beliau perlu melatih pemimpin di semua peringkat terutamanya pemimpin politik.

“Adalah ironi Wawasan 2020 pasti gagal kerana Dr Mahathir sendiri.

“Sebijak mana pun beliau, Dr Mahathir lupa bahawa untuk berjaya beliau perlu melatih pemimpin dari semua peringkat terutamanya di kalangan pemimpin politik,” katanya yang dipetik portal Astro Awani.

Wawasan 2020 diumumkan oleh Mahathir ketika membentangkan Rancangan Malaysia Keenam pada tahun 1991 yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

Namun, menurut Musa rekod kepimpinan Mahathir mempamerkan bekas perdana menteri itu menyingkirkan ramai pemimpin berpotensi dan hanya mengekalkan pengikut setia.

"Pengikut ini dilatih untuk berdedikasi dan setia kepada sesiapa yang duduk di bahagian paling atas.
“Prinsip itu mudah sahaja.... mereka hanya perlu setia jika mahu terus 'hidup',” katanya.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak dalam blognya berkata Wawasan 2020 mustahil untuk dicapai kerana Mahathir gagal mengambil kira krisis kewangan apabila mencetuskan idea berkenaan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.