Halaman

Selasa, 23 Februari 2016

NAZRI PERTAHAN NAJIB ATAU MAHU MENAMBAH KESELESAAN BUAT ZAHID?

shahbudindotcom


 
 
 
Tiba-tiba saja Nazri Aziz bersuara bahawa beliau akan mencadangkan penggantungan Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO dalam mesyuarat MT akan datang berikutan tindakannya yang dilihat berterusan mengkritik kepimpinan Najib Razak.

Beliau yang menyifatkan tindakan Muhyiddin sebagai melampau, turut menggesa agar bekas Timbalan Perdana Menteri itu segera meninggalkan parti jika sudah tidak mahu bersama kepimpinan sedia ada.

Yang menjadi persoalan, kenapa kritikan cuba dibalas dengan ancaman penggantungan? Apakah ruang untuk berkata benar sudah tertutup dalam UMNO sekarang ini?

Tidak bolehkah persoalan-persoalan yang dibangkitkan Muhyiddin yang sebenarnya juga merupakan pertanyaan paling bersarang di kepala rakyat, dijawab dengan tenang dan dengan jiwa yang lapang?

Apatah lagi, Nazri yang berlatarbelakangkan seorang peguam, seharusnya lebih arif bahawa hujah seharusnya dilawan dengan hujah, fakta mesti ditundukkan dengan fakta dan soalan semestinya dibalas dengan jawapan.

Apakah ancaman penggantungan yang disuarakan Nazri itu menunjukkan kepimpinan sedia ada tidak mampu lagi berlawan hujah dengan Muhyiddin dan menjawab persoalan yang ada di fikiran rakyat?
 
 
 
 
 
Mengapa pula Nazri mahu mencadangkan penggantungan Muhyiddin sedangkan pada Oktober 2015 lalu, beliau bertegas akan mempertahankan kedudukan Muhyiddin sebagai orang nombor dua dalam UMNO sehingga pemilihan akan datang?

Sebagai parti yang sudah menyambut ulangtahun ke 70, UMNO harus mempunyai ruang yang cukup untuk perbezaan pendapat dan menerima kritikan, demikian Nazri dilaporkan sebagai berkata pada 30 Oktober 2015 lalu yang menggambarkan keterbukaan dan kematangannya.

Sehubungan itu, beliau juga dipetik akan melakukan apa saja untuk mempertahankan kedudukan Muhyiddin sehingga pemilihan seterusnya yang mana ketika itu, menurutnya,  Zahid lebih berpeluang mengambil alih jawatan tersebut.

Mengapa pendirian Nazri mengenai Muhyiddin boleh berubah dalam tempoh yang tidak terlalu lama?

Mengapa dulu matang dan terbuka, kini sudah jadi sebaliknya?

Ohhh...sebelum terlupa, Nazri juga adalah satu-satunya ahli MT UMNO yang pernah membuat kenyataan terbuka akan menyokong Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri sekiranya Najib mengundurkan diri.
 
 
 
 
 
Saya penyokong Zahid, beliau Timbalan Perdana Menteri dan beliau juga akan jadi Perdana Menteri, kata Nazri sebagaimana yang pernah disiarkan oleh portal Malaysiakini.

Mengapa hanya Nazri yang bercakap soal pengunduran Najib dan Zahid sebagai penggantinya, tetapi tidak oleh pemimpin-pemimpin yang lain?

Apakah dengan berubah mahu mencadangkan Muhyiddin digantung kedudukannya, ia bertujuan mempertahankan Najib atau untuk menyediakan laluan  lebih selesa bagi Zahid jika sesuatu berlaku kepada kedudukan Perdana Menteri?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.