Halaman

Selasa, 23 Februari 2016

Tahaluf PKR-DAP bak retak menanti belah?

Oleh Abdul Rahman Malik

 
Post Pic
 
 
[ULASAN] Kalau ikut firasat politik DAP, PAS tidak harus mengisi sebarang kerusi pentadbiran di mana-mana peringkat kerajaan Selangor. Ini kerana PAS bukan kerabat Pakatan Harapan.
 
Bagaimamanpun PKR tidak bersetuju. Ia bertegas mengatakan bahawa demi menghormati keputusan rakyat pada pilihan raya umum ke-13, anggota Pakatan Rakyat, termasuk PAS, harus diizin bersama mentadbir Selangor. 
 
DAP terkedu dan kecewa. Namun ia tidak mencabar secara terbuka pendirian PKR yang ia (DAP) telah bersetuju mentadbir Selangor meskipun PKR tidak mempunyai kerusi Dewan Undangan Negeri yang lebih banyak daripadanya. 
 
Namun DAP nampaknya tidak mahu melupakan ketegaran PKR itu. Bagi DAP musuh dan virus yang membunuh Pakatan Rakyat yang ditubuhkan pada 2008, adalah PAS, dan, parti itu adalah tetap musuhnya. 
 
DAP menahan sabar dan tidak pula menunjukkan secara terbuka kesediaannya menyokong Parti Amanah Negara (PAN) supaya secara mutlak parti serpihan itu dapat mengambil alih tempat PAS dalam kerajaan Selangor. 
 
Bagaimanapun untuk menunjukkan ketidakpuasan hatinya terhadap sikap politik PKR, DAP memilih dan tempat yang ia mempunyai kuasa penuh untuk mempamerkan perasaannya yang sebenar. 
 
Peluang ini muncul apabila lima ahli dewan undangan negeri PKR tidak akur pada pendirian DAP berhubung isu bagaimana mahu mentadbir Pulau Pinang, DAP tidak teragak-agak “mengajar” PKR bagaimana cara menggunakan kuasa.
 
Dua daripada lima ADUN PKR dihukum. ADUN Bukit Tengah, Ong Chin Wen, ditamatkan khidmatnya sebagai pengarah Penang Invest dan Island Golf Properties Bhd, sebuah anak syarikat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.
 
Sementara ADUN Kebun Bunga, Cheah Kah Peng ditamatkan khidmatnya sebagai pengarah di Perbadanan Bukit Bendera.
 
Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, DAP bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap ADUN PKR yang pada awalnya bersetuju dengan DAP dalam isu penambakan laut, tetapi kemudian mungkiri janji.
 
Beliau berhujah bagaimana “ADUN PKR yang menentang pendirian kerajaan DAP” boleh berfungsi dengan berkesan dan profesional jika mereka bersilang pendirian dengan kerajaan majoriti DAP yang dipimpinnya.
 
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali cuba menegur tindakan DAP terhadap ADUNnya itu dengan mengumumkan bahawa Biro Politik PKR membantah tindakan Guan Eng itu. 
 
Menurut Azmin Ali, kedua-dua wakil rakyat parti itu hanya menyuarakan pandangan yang mengambil kira kepentingan rakyat.
 
"Sebagai ahli DUN, mereka memberikan maklum balas dan pandangan dalam perkara ini perlu diraikan dan tidak perlu mengambil tindakan terhadap mereka.
 
"Biro Politik PKR pada minggu lalu telah membuat ketetapan menghantar surat kepada kerajaan negeri Pulau Pinang supaya perkara ini dapat dibincang secara baik dalam keadaan yang harmoni," kata Azmin.
 
Soalnya, adakah DAP peduli setelah PKR dilihat tidak menghargai dan memberi pertimbangan saksama terhadap perkembangan politik semasa di mana PAS yang sudah bercerai kasih dengan PKR dan DAP masih diizinkan oleh PKR berkongsi kuasa di Selangor. 
 
Lantas, oleh kerana dalam kes Pulau Pinang DAP ada majoriti mutlak untuk memerintah, Guan Eng dijangka tidak akan memberi pertimbangan berat akan protes PKR itu. 
 
Sikap tegas DAP dapat dijangka memandangkan PKR juga tidak meletakkan rasa hormat yang sewajarnya terhadap perhubungan politiknya dengan DAP.
 
Lantas, seperti dalam kes usulnya menolak PAS daripada kerajaan Selangor, DAP memilih tidak mahu memberi komen terhadap sikap wewenang PKR melayani pemimpinnya di Selangor. 
 
Kes pemimpin DAP Selangor, Dr Aziz Bari tidak diberi tempat dalam hiraki pentadbiran Selangor juga pasti telah “menjolok ketidakselesaan DAP” terhadap tahalufnya dengan PKR.
 
Syor DAP supaya Aziz dimasukkan dalam senarai ahli Majlis kerajaan Tempatan Ampang Jaya, tidak dilayan PKR. Malah sebaliknya, PKR nampaknya berdolak dalik dalam isu berkenaan “seolah-olah memandang rendah syor DAP itu”. 
 
Kenyataan Setiausaha Politik Azmin, Shuhaimi Shafie yang menganggap pihak yang mempertikaikan keputusan PKR berhubung isu pelantikan ahli majlis PBT itu sebagai “buta” dilihat mampu memarakkan suhu hubungan PKR-DAP.
 
Kenyataan Shuhaimi itu adalah reaksi kepada Setiausaha PKR Cabang Kelana Jaya, S. Murali; Ahli Jawatankuasa PKR Gombak dan Selayang, B. Rajandran dan aktivis PKR, Badrul Hisham Shaharin yang menuduh Azmin mengamalkan kronisme dalam isu pelantikan PBT.
 
Namun bagi DAP ia tidak mengubah persepsi bahawa pada akhirnya perkara yang mendasari isu itu ialah syor DAP ditolak.
 
Shuhaimie berkata, dakwaan berkenaan adalah liar, jahat dan tidak berasas memandangkan senarai pelantikan ahli majlis PBT bukan ditentukan oleh Menteri Besar sebaliknya diputuskan oleh jawatankuasa dianggotai wakil PAN, DAP, Pas dan PKR.
 
“Maka tidak ada timbul soal kroni, politik dendam dalam isu pelantikan ahli majlis PBT. Nama yang Menteri Besar terima adalah nama yang dihantar oleh semua parti dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan), tidak ada pindaan.
 
“Mereka (pihak yang membuat dakwaan sedemikian) ini mungkin tidak faham proses cadangan serta membuat keputusan mengenai pelantikan ahli majlis PBT. Mungkin mereka lakukan kerana tidak dilantik untuk jawatan tersebut,” katanya.
 
Hakikatnya ialah, Aziz Bari yang dicalonkan oleh DAP ditolak kerajaan pimpinan PKR. Ini membuat Aziz terpanggil untuk memberi pandangannya yang kini jelas membayangkan pemikiran DAP.
 
Katanya, PKR dilihat berdolak-dalik dalam isu komitmennya terhadap Pakatan Harapan sebenarnya kerana ia tidak yakin kepada kekuatan dalamannya sendiri. 
 
"Yang mungkin kalau kita tengok dolak-dalik PKR dalam Pakatan Harapan menunjukkan bahawa mereka tidak yakin kepada struktur dan kekuatan organisasinya.
 
"Kalau tidak, masakan lagi dia tidak bersedia untuk menceraikan PAS. Saya fikir itu satu petanda bahawa PKR sendiri tidak mempunyai keyakinan...  untuk bergerak sebagai sebuah parti politik," katanya.
 
Jika tepat penilaian Aziz itu, tidak hairanlah jika hubungan dan kerjasama di antara PKR-DAP akan semakin tegang dan meruncing pada hari-hari yang mendatang.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.