HALAMAN SANTAI

Jumaat, 11 September 2020

Batal 24 projek rumah PR1MA, kementerian perumahan bayar pampasan RM42 juta

  
 
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, baki 70 projek rumah PR1MA akan diteruskan.

PETALING JAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan membayar pampasan berjumlah RM42 juta kepada kontraktor yang menjalankan kerja-kerja awal bagi 24 projek Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang dibatalkan.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, dalam pada itu, kerajaan mengenal pasti 27 tapak untuk dibangunkan rumah mampu milik PR1MA di luar Selangor dan Kuala Lumpur.

“Kita akan mulakan (projek ini)… kita baru dapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan sebanyak 8 tapak dan itu kita akan teruskan.

“(Kemudian) 27 tapak yang kita kumpulkan tanah itu kita dalam proses untuk meninjau kedudukan dan daya maju tanah dan kita akan mulakan projek itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Surat Tawaran PPR Komuniti Seni Prihatin Finas di sini, semalam.

Menurut Zuraida, projek itu diselaraskan di bawah sistem Jabatan Perumahan Nasional, termasuk Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Sebelum ini Zuraida dilaporkan berkata, 24 daripada 94 projek PR1MA dibatalkan.

Baki sebanyak 70 lagi masih diteruskan, katanya.

Tiada ulasan: