HALAMAN SANTAI

Jumaat, 11 September 2020

Khairy temui Veveonah, minta maaf bagi pihak kerajaan

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin 
meminta maaf bagi pihak kerajaan dalam pertemuan dengan 
pelajar Veveonah Mosibin di Universiti Malaysia Sabah 
semalam. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaluddin, berkesempatan mengadakan pertemuan bersama pelajar Veveonah Mosibin, yang tular pada Jun lepas kerana memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet di pedalaman Sabah.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Khairy berkata, dalam pertemuan di Universiti Malaysia Sabah semalam, beliau mewakili kerajaan turut memohon maaf kepada Veveonah dan ibu bapanya atas kesulitan yang dilaluinya baru-baru ini.

“Saya juga cadangkan untuk Veve berkerjasama dengan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), untuk membangunkan projek inovasi di kampung beliau dalam pemeliharaan alam sekitar,” katanya.

Pada 3 Sept lepas, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin, ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Negara mengenai Veveonah yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet, telah mencetuskan polemik.

Zahidi dilaporkan berkata, hasil siasatan kementerian mendapati Veveonah sebenarnya tidak menduduki peperiksaan ketika video tular itu dirakam.

Veveonah dalam laporan sebuah portal kemudiannya menafikan kenyataan Zahidi dan mendakwa beliau memang mengambil peperiksaan, seperti dalam video itu.

Semalam Zahidi memohon maaf di Dewan Negara kerana menimbulkan kekeliruan berhubung masalah capaian internet yang dihadapi penuntut universiti itu.

Tiada ulasan: