HALAMAN SANTAI

Rabu, 9 September 2020

PRN Sabah: PKR bertanding 14 kerusi DUN

Shawaliah Hadir
MGF30042018_Ceramah-Bersama-Penduduk-Kampung-Tun-Sardon_14-1-681x454
foto IQBAL BASRI,

KUALA LUMPUR – PKR bakal bertanding di 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 September ini.

Keputusan itu dimuktamadkan menerusi rundingan akhir pembahagian kerusi di antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal.

Menurut Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Samsudin Sidek, peningkatan jumlah kerusi yang ditandingi parti itu seiring dengan pertambahan jumlah DUN daripada 60 kepada kini 73.

Dalam masa yang sama tambah beliau, keanggotaan PKR Sabah kini telah mencecah 170,000, kedua tertinggi selepas Selangor.

“Walaupun parti pernah bertanding jumlah kerusi lebih besar, atas semangat setiakawan dengan rakan seperjuangan, khususnya Warisan (Parti Warisan Sabah), Keadilan hanya bertanding enam kerusi Parlimen dan lapan DUN pada 2018.

“Atas sebab itu, parti kali ini ingin meletakkan 14 orang calon DUN, satu peningkatan yang munasabah memandangkan bilangan kerusi DUN juga meningkat dari 60 sebelum ini kepada 73 untuk Pilihan Raya Negeri Sabah 2020,” katanya menerusi kenyataan.

Kata Samsudin, PKR dijangka mengetengahkan calon baharu di kalangan Bumiputera Islam, bukan Islam termasuk Cina pada PRN Sabah.

“Kali ini, Keadilan melakukan tapisan rapi untuk memastikan calon-calon yang berwibawa, termasuk muka-muka baharu anak muda dan wanita.

“Ini komitmen Keadilan untuk mengembalikan mandat rakyat kepada Kerajaan Negeri yang diterajui Warisan, Pakatan Harapan dan UPKO pimpinan Datuk Seri Panglima Shafie Apdal dalam Pilihan Raya Negeri 2020,” tambahnya.

Berikut adalah senarai kerusi-kerusi yang ditandingi PKR

1. N. 20 Api-Api

2. N. 18 Inanam

3. N. 09 Tempasuk

4. N. 14 Tamparuli

5. N. 05 Matunggong

6. N. 32 Klias

7. N. 45 Sook

8. N. 43 Kemabong

9. N. 61 Segama

10. N. 27 Limbahau

11. N. 51 Sg Manila

12. N. 31 Membakut

13. N. 08 Pintasan

14. N. 23 Petagas

Pada PRU 2018 PKR menang tiga daripada enam kerusi Parlimen dan dua daripada lapan DUN yang ditandingi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: