HALAMAN SANTAI

Jumaat, 11 September 2020

Sokongan lemah akar umbi bawa masalah kepada PPBM negeri

PETALING JAYA: Dua orang penganalisis politik meramalkan masalah bagi beberapa ketua PPBM negeri ketika mahu berunding dengan sekutu parti itu berhubung kerusi yang akan ditandingi pada pilihan raya umum ke-15.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia dan Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, kekurangan sokongan akar umbi PPBM akan menyebabkan pemimpin negeri parti itu berdepan kekurangan untuk berunding.

Azmi berkata, mereka akan menghadapi masalah untuk memberikan kerusi kepada pemimpin PPBM yang sebelum ini merupakan ahli Umno kerana akar umbi parti itu mungkin menolak mereka.

Sementara itu, Awang Azman berkata, ketua PPBM negeri perlu meningkatkan sokongan akar umbi bagi memastikan kejayaan yang bukan sahaja dalam rundingan kerusi, tetapi juga pada pilihan raya umum.

“Bolehkah mereka buat itu?” soal beliau.

Azmi Hassan.

Mereka mengulas mengenai senarai kepemimpinan baru PPBM yang baru dikeluarkan.

Azmi berkata, Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu kini juga berperanan sebagai ketua PPBM negeri Pahang, sementara Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, yang berasal dari Perak, dilantik untuk memimpin parti itu di Perlis.

Beliau tertanya-tanya tentang kemampuan mereka untuk berunding berhubung kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Azmi juga berkata pengundi akan tetap melihat Hamzah sebagai bekas pemimpin Umno walaupun beliau terkenal dalam PPBM dan perkara sama berlaku kepada Mustapa Mohamed, ketua parti itu di Kelantan.

“Kerusi mana yang patut diberikan kepada mereka pada PRU15? Sekiranya BN dan PPBM setuju untuk berikan kerusi majoriti Melayu yang selamat, mereka mungkin ditolak oleh pengundi Umno,” katanya.

Katanya, ketua-ketua PPBM negeri perlu bekerja keras untuk mendapatkan sokongan bukan sahaja daripada mereka yang menyokong Pakatan Harapan pada PRU14, tetapi juga sokongan daripada pengundi Umno.

Azmi juga berkata PPBM perlu memenangi sebahagian besar kerusi yang mereka bakal tandingi dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah untuk menunjukkan parti itu mendapat sokongan akar umbi.

Awang Azman Pawi.

“Ini akan memberikannya kuasa tawar menawar dalam rundingan kerusi untuk PRU15,” katanya.

Awang Azman berkata, PPBM juga perlu bersaing dengan Pejuang, parti baru yang merupakan pecahan parti itu di bawah pimpinan bekas pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad.

Katanya lagi, parti itu seharusnya meletakkan ahli sekutunya, Edmund Santhara, dalam barisan kepemimpinan untuk menggalakkan orang bukan Melayu memperkuatkan sokongan akar umbinya.

Tiada ulasan: