HALAMAN SANTAI

Khamis, 10 September 2020

Umno gesa MB Selangor tutup segera kilang haram

MALAYAIAKINI

Malaysiakini

Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan mempertikaikan kenyataan MB Selangor semalam.

Tindakan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memberi peluang kepada kilang haram sehingga hujung tahun untuk membuat pemutihan dipersoalkan Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan.

Shahril mempersoalkan mengapa Kerajaan Negeri Selangor perlu menunggu sehingga hujung tahun tanpa mengambil kira pengajaran krisis air yang berlaku di Selangor dan Kuala Lumpur akibat pencemaran sungai yang didalangi oleh kilang haram.

“Setelah perit yang dilalui, mengapa tidak tindakan tegas diambil sekarang? Ini bukan kes penjaja kecil yang hendak cuba dibantu ke arah pemutihan atas pertimbangan ehsan dan membantu ekonomi mikro penjaja. Ini kilang haram.

“Yang mana di kalangan mereka mencemar sungai dan mengganggu bekalan air, menyebabkan pelbagai kesusahan dan kerugian kepada rakyat,” kata Shahril pada satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook.

Sharil (gambar, atas) berkata demikian mengulas kenyataan Amiruddin semalam bahawa Selangor memberi peluang kepada pemilik tanah dan kilang yang beroperasi tanpa kebenaran untuk membuat proses pemutihan sehingga hujung tahun ini.

Menurut Amiruddin, jika masih ada mereka yang ingkar berbuat demikian dalam tempoh itu, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk merobohkan struktur bangunan yang memberi impak kepada pencemaran alam sekitar.

Pada 5 September lalu, kerajaan negeri Selangor mengeluarkan notis mengarahkan pengosongan tapak bengkel yang menjadi punca pencemaran Sungai Gong dan memulihkan semula tanah itu dengan segera.

Arahan berkenaan terkandung dalam Notis Perlanggaran Syarat (7A) Pejabat Daerah dan Tanah Gombak.

Antara lain notis itu mewajibkan pemilik meroboh bangunan atau berdepan tindakan pihak berkuasa tempatan.

Keadaan mendesak

Mengulas lanjut, Shahril berkata apa yang lebih mengejutkan apabila Amirudin sendiri mengesahkan kilang haram berkenaan telah beroperasi sejak 2008.

Malah Amiruddin sendiri mendedahkan Kerajaan Negeri Selangor sudah memberi tawaran untuk kilang berkenaan melakukan pemutihan 12 tahun lalu.

Shahril turut mempersoalkan kenyataan Amiruddin (gambar, bawah) yang memberitahu media jika keadaan mendesak dan kerajaan negeri boleh melaksanakan pemutihan dengan lebih pantas iaitu menjelang bulan November atau Disember ini, ataupun awal tahun depan.

“Kalau keadaan mendesak? 1.2 juta akaun pengguna air terkesan teruk hanya beberapa hari lalu disebabkan akitiviti kilang yang tidak dipantau, walaupun ada sejarah pencemaran. Tak cukupkah bukti betapa mendesaknya isu pencemaran dan gangguan ini? Soalnya.

“Rakyat mahukan tindakan. Kerajaan negeri ada banyak kuasa sepertimana yang disebut dalam posting sebelum ini. 

"Jangan tunggu ada krisis sekali lagi baru nak kelam kabut. Sudah 12 tahun diberi peluang kepada kilang haram.

"Hendak bagi berapa tahun lagi,” soalnya.

Susulan pencemaran pada Khamis lalu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Sebuah kilang yang terletak di kawasan perindustrian Rawang disyaki punya yang menyebabkan pencemaran tersebut.

Tiada ulasan: