HALAMAN SANTAI

Selasa, 17 November 2020

'Adun Meru keluar Amanah tiada kaitan isu keyakinan parti pada Anwar'

 MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof menjelaskan tindakan Adun Meru keluar parti tidak ada kena mengena dengan fitnah keretakan kepercayaan parti itu terhadap kepimpinan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Menurut Mujahid, Amanah tidak akan mengambil ringan berkenaan individu dari parti itu bertukar parti dalam gabungan Pakatan Harapan semata-mata demi kepentingan diri.

“Jangan kaitkan sama sekali tindakan individu seperti Adun Meru atau sesiapa sahaja dari ahli Amanah sebagai respons kepada 'kekecewaan sikap parti Amanah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim (Dsai).'

“Adun Meru tidak wajar membayangkan demikian walau sekelumit pun kerana hakikatnya tindakan YB tersebut adalah atas pilihan dan masalahnya tersendiri dan tidak ada kena mengena dengan fitnah keretakan kepercayaan Amanah terhadap kepimpinan Dsai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Setiausaha Amanah Selangor, Ar Kamarul Hisham Yeop Hashim mengesahkan Adun Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar telah keluar parti untuk menyertai PKR.

Ia sekaligus membatalkan semua jawatan parti yang disandangnya.

Mujahid berkata demikian mengulas apabila terdapat dakwaan bahawa parti itu mengambil pendirian menyokong Dr Mahathir Mohamad yang kini bersama parti baru, Pejuang.

Menurut ahli parlimen Parit Buntar, dakwaan itu berniat jahat dengan tujuan memburukkan imej Amanah serta sebagai satu serangan peribadi kerana mendakwa Presiden Amanah, Mohamad Sabu sebagai penyebab kepada perpecahan dalam parti itu.

“Pihak yang bertanggungjawab atas naratif ini harus meminta maaf atas usaha memburukkan Amanah ini secara sengaja atau tidak dan sekaligus merosakkan kesatuan dalam PH yang merugikan,” katanya.

Tiada ulasan: