HALAMAN SANTAI

Rabu, 18 November 2020

Lebih mulia kerusi Parlimen Gerik tidak ditandingi - Saarani .

Lebih mulia kerusi Parlimen Gerik tidak ditandingi - Saarani

Aida Aziz
Lebih mulia kerusi Parlimen Gerik tidak ditandingi - Saarani
Saarani berkata, UMNO Perak menunggu keputusan SPR untuk menentukan sama ada PRK perlu diadakan atau sebaliknya. - Gambar fail
 
IPOH: Datuk Saarani Mohamad berpendapat adalah lebih mulia jika kerusi Parlimen Gerik tidak ditandingi dan semua parti berlapang dada memberikan kemenangan percuma kepada UMNO di kawasan itu.
 
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak itu berkata, perkara itu dilihat mendapat respons sama daripada beberapa parti politik lain dan beliau mengharapkan supaya hanya satu calon, iaitu daripada Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding.
 
Bagaimanapun, katanya, UMNO Perak bersedia menghadapi sebarang kemungkinan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan di Gerik, ekoran pemergian penyandangnya Allahyarham Datuk Hasbullah Osman pada Isnin.
 
"Kita tidak boleh menghalang PRK sebab ia termaktub dalam Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), iaitu mana-mana kawasan yang dikosongkan kurang daripada tiga tahun, maka PRK kena dibuat.
 
"Saya berpendapat adalah lebih mulia, lebih baik, kalau ia tidak ditandingi. Kerana, pertama masalah COVID. Yang keduanya, ia tidak mengubah apa-apa kerana kerajaan telah pun ada.
 
"Hanya dengan satu kerusi, tak akan mengubah apa-apa. Jadi, saya yakin kalau semua parti berlapang dada menerima calon BN sebagai calon tunggal, kita tak perlu bertungkus-lumus turun padang, berkempen, berjumpa orang ramai.
 
"Semua itu, kita tahu, akan menjadi salah satu daripada punca merebaknya pandemik COVID-19," katanya.
 
Saarani ditemui pada majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dan Sekretariat Usahawan Perak (STeP) dengan syarikat telco redONE Network Sdn Bhd di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
 
BACA: Kemenangan percuma: UMNO Gerik serah pertimbangan parti-parti lain
 
Ujarnya lagi, UMNO Perak menunggu keputusan SPR untuk menentukan sama ada PRK perlu diadakan atau sebaliknya.
 
Katanya lagi, tahun ini amat mencabar bagi UMNO Perak kerana kehilangan dua pemimpin kanan parti.
Semalam, jenazah Hasbulllah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang, Gerik.
 
BACA: Pemergian Hasbullah satu kehilangan besar buat rakyat Perak - MB
 
Dalam perkembangan berkaitan, Dewan Rakyat hari ini mengemukakan pemberitahuan kepada SPR berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P054 Gerik.
 
Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata selaras Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, pihak SPR hendaklah mengisi kekosongan kerusi itu dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan suruhanjaya tersebut bahawa ada kekosongan.
 
Pada Selasa, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa semua parti politik agar tidak meletakkan calon dan sekali gus memberi kemenangan percuma kepada UMNO di Gerik.
 
Lim berkata, cadangannya itu dibuat bertujuan mengekang risiko penularan wabak COVID-19 semasa PRK.

Tiada ulasan: