HALAMAN SANTAI

Rabu, 18 November 2020

PAS dukung Garis Panduan Penjualan Arak DBKL

KAMARUZAMAN MOHAMAD
 

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mendukung tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengeluarkan garis panduan dan syarat permohonan lesen minuman keras yang baharu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. 

Pujian harus diberikan kepada DBKL atas usaha proaktif yang sebelum ini telah mengeluarkan syarat pembekuan lesen baharu penjualan arak.

Ketegasan terhadap penjualan minuman keras ini secara tidak langsung dapat mengatasi sebahagian daripada masalah sosial masyarakat, seperti kemalangan jalan raya, kematian, keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak dan jenayah keganasan. Di samping itu, ketegasan ini juga dapat membantu dari aspek kesihatan seperti mencegah penyakit kanser serta penyakit lain yang berbahaya.

Sebagai contoh, satu penyelidikan oleh Peter Anderson terhadap kesan pengambilan alkohol menyumbang 40 peratus daripada sembilan juta kanak-kanak bagi kes keganasan dan penderaan di Eropah.

Segala kritikan daripada pihak yang cuba memanipulasikan isu ini dengan pelbagai alasan mestilah diabaikan kerana kesan arak sangat jelas membahayakan dan ditegah oleh agama.

PAS sudah sekian lama menggesa supaya penjualan minuman memabukkan ini diperketatkan sebagaimana yang sudah dipraktikkan di Negeri Kelantan.

Semoga usaha ini dapat dicontohi oleh pihak berkuasa yang lain dalam memainkan peranan bagi kesejahteraan rakyat biarpun mengambil sedikit masa.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

(*) KAMARUZAMAN MOHAMAD - Ketua Penerangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
 HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: