HALAMAN SANTAI

Rabu, 18 November 2020

PBT lain wajar contohi DBKL, kata Pemuda PAS WP

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menggesa majlis perwakilan pendududuk serta jawatankuasa masjid dan surau memainkan peranan sebagai pemantau iklan-iklan permohonan lesen menjual minuman keras dalam empat akhbar utama.

Ketuanya Mohammad Rashidi Abdul Razak berkata pemantauan itu lebih diperlukan di kawasan didiami majoriti penduduk beragama Islam.

Katanya pihak terbabit kemudian perlu bertindak secara proaktif dengan menyuarakan bantahan mereka kepada pihak berkuasa tempatan sebelum lesen dikeluarkan.

"Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menyeru agar majlis perwakilan penduduk, jawatankuasa masjid dan surau berperanan memantau iklan Notis Permohonan Lesen Menjual Minuman (Liqour Yang Memabukkan) yang disiarkan dalam empat akhbar utama tempatan khususnya bagi premis yang berada di kawasan majoriti penduduk Muslim," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia dibuat ekoran keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperketat penjualan minuman keras melalui pelaksanaan garis panduan dan syarat permohonan lesen minuman keras yang baru.

Mohammad Rashidi berkata langkah itu amat perlu agar mereka dapat mengawal mudahnya mendapat lesen penjualan serta pengambilan minuman beralkohol, selain untuk kawalan keselamatan dan kesihatan warga kota.

"Tindakan tersebut bertepatan dengan pelbagai usaha yang digembleng ramai pihak bagi memastikan penjualan minuman keras diberikan perhatian khusus oleh pihak berwajib.

"Langkah tegas ini sememangnya amat dinantikan oleh rakyat susulan peningkatan kes kemalangan berkaitan pemandu mabuk sejak kebelakangan ini," katanya.

Menurut Mohammad Rashidi lagi DBKL juga diminta tidak berkompromi dengan had masa penjualan minuman keras di rumah awam kelas satu serta rumah bir yang ditetapkan antara 10 pagi hingga 12 tengah malam.

Malah katanya had masa itu wajar diteliti dengan mendalam.

"Sewajarnya pihak berkuasa tempatan di tempat lain mengambil inisiatif sama dalam membendung kebejatan implikasi minuman keras terhadap masyarakat di negara ini," katanya.

Tiada ulasan: