HALAMAN SANTAI

Selasa, 17 November 2020

Pelik Cina sokong Umno? Ramasamy kata kajian Emir Research tak betul

MALAYSIAKINI

 Malaysiakini

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy, membidas penemuan kajian Emir Research yang mendakwa majoriti responden berbangsa Cina menyokong Umno.

Dia mempersoalkan metodologi yang menyaksikan kesimpulan dibuat bahawa Umno adalah parti paling popular di kalangan kaum Cina Malaysia sementara hanya 17 peratus daripada mereka nya menyokong DAP.

"Ini penemuan penyelidikan yang pelik, tetapi kaum Cina dan India akan menyokong DAP dan PKR bersama Pakatan Harapan," kata Ramasamy dalam satu kenyataan hari ini.

Kajian suku tahunan oleh Emir Research pada Ogos lalu mendapati bahawa Muhyiddin Yassin menikmati sokongan dua pertiga kaum Melayu sebagai perdana menteri, tetapi hanya 7 peratus orang Melayu yang menyokong partinya, Bersatu.

Tinjauan itu membabitkan 2,096 responden yang dipilih melalui teknik pensampelan pelbagai peringkat dan kaji selidik secara berdepan, yang mewakili semua 222 kawasan parlimen.

Paling tidak dapat diterima oleh Ramasamy adalah penemuan bahawa Umno mendapat sokongan paling banyak di kalangan responden Cina dengan 25 peratus, diikuti oleh DAP pada 17 peratus dan MCA pada 12 peratus.

"Hasil tinjauan ke atas 2,000 responden itu benar-benar pelik dan tidak dapat dibayangkan," katanya, sambil menambah bahawa ini menimbulkan pertanyaan mengenai cara penyelidikan dijalankan, motif di belakangnya dan siapa sebenarnya responden berkenaan.

"Untuk mengatakan bahawa DAP hanya menikmati 17 peratus sokongan kaum Cina adalah satu lagi usaha pelik," kata Adun Perai itu.

DAP mempunyai 42 ahli parlimen dan parti itu mencatatkan prestasi yang sangat baik di kerusi majoriti Cina, terutama sejak pilihan raya 2008.

"Apa yang dilakukan Umno sejak kebelakangan ini sehingga begitu disayangi oleh kaum Cina dan apa yang telah dilakukan DAP sehingga ditolak oleh kaum Cina?" soal Ramasamy.

"Umno masih musuh nombor satu DAP dan pada pilihan raya umum terakhir pada tahun 2018, DAP dan parti-parti sekutunya berhempas-pulas mengalahkan Umno dan BN.

"Sebilangan besar kaum Cina menyokong DAP."

Katanya, meskipun sokongan kaum Cina terhadap DAP mungkin tidak sama seperti sebelum ini, namun dia percaya bahawa jika diberi pilihan antara Umno bersama BN dan DAP bersama Pakatan Harapan, dia yakin pengundi bukan Melayu untuk terus menyokong DAP.

Tiada ulasan: