Bernama
Peguam
Chong Kar Yan yang mewakili ADUN Tras Chow Yu Hui selepas prosiding
mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi
Kuantan, -fotoBERNAMA
KUANTAN:
Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak permohonan Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Tras Chow Yu Hui bagi mendapatkan kebenaran memulakan
semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri Pahang mewajibkan
penggunaan tulisan jawi pada papan tanda dan iklan di negeri ini.
Hakim
Datuk Zainal Azman Ab Aziz juga memerintah Chow, 37, selaku plaintif
untuk menjelaskan kos masing-masing RM5,000 kepada Majlis Daerah Raub
(MDR) dan kerajaan negeri Pahang, yang dinamakan sebagai responden
dalam permohonan itu.
Pada
penghakimannya, Zainal Azman berkata mahkamah tidak perlu campur tangan
dalam polisi penggunaan tulisan jawi yang diwajibkan mulai 1 Jan 2020
kerana telah diputuskan oleh kerajaan negeri mengikut tatacara yang
betul.
"Polisi ini telah dibincangkan
dan dibahaskan. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pahang yang
bersidang pada 29 Mei 2019 juga bersetuju dengan penyeragaman penggunaan
tulisan jawi pada papan tanda dan iklan di Pahang.
"Jika
mahkamah harus menyemak segala keputusan mesyuarat EXCO, maka akan
berlaku banyak polisi yang hendak dibantah dibawa ke sini, walaupun
dibuat dengan tatacara yang betul. Sehubungan itu, mahkamah memutuskan
tiada merit di peringkat ini untuk pemohon diberikan kebenaran,"
katanya.
Zainal Azman juga menolak
hujah Chow bahawa semua arahan berkaitan penggunaan tulisan jawi itu
adalah terbatal dan tidak boleh diguna pakai kerana arahan tersebut
tidak diwartakan, memandangkan beliau mempunyai pengetahuan mengenai
pelaksanaan polisi berkenaan.
Ini,
menurut Zainal Azman berdasarkan kedudukan Chow selaku ADUN di Pahang,
selain pusat khidmat beliau telah menerima surat daripada pejabat
Setiausaha Kerajaan Negeri pada Julai 2019 disusuli notis garis panduan
penggunaan tulisan jawi daripada MDR pada Oktober 2019.
Pada
prosiding itu, peguam Chong Kar Yan mewakili Chow manakala MDR diwakili
peguam Datuk T Anandan dan Farah Nur Atiqah Bahari sementara Peguam
Kanan Persekutuan Noor Fadzila Ishak mewakili kerajaan negeri Pahang.
Sementara
itu, Chow semasa ditemui Bernama berkata beliau menghormati keputusan
mahkamah dan akan berbincang sama ada akan memfailkan rayuan terhadap
keputusan tersebut.
Chow memfailkan
permohonan itu pada 9 April lepas, bagi mendapatkan kebenaran semakan
kehakiman untuk mendapatkan perintah mahkamah supaya keputusan mesyuarat
Exco Pahang dan garis panduan dikeluarkan MDR berhubung tulisan jawi
dibatalkan.
Beliau juga berhasrat
mahkamah mengeluarkan perintah agar notis kesalahan yang dikeluarkan MDR
pada 9 Jan 2020 kerana didakwa gagal mempamerkan tulisan jawi pada
papan tanda pusat khidmatnya, dibatalkan.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan