HALAMAN SANTAI

Jumaat, 11 Disember 2020

Kita tidak akan bekerjasama dengan kleptokrat – Kit Siang

KHAIRULANUAR YAHAYA

Kit Siang berkata, DAP perlu sentiasa setia dan berpegang teguh pada prinsip supaya kekal sebagai satu parti politik yang berprinsip.

“Kita tidak akan bekerjasama dengan kleptokrat dan mereka yang menyalahgunakan kuasa mereka untuk kepentingan peribadi tetapi kita mesti terbuka dan fleksibel untuk bekerjasama dengan rakyat Malaysia yang berintegriti, tanpa mengira kaum, agama atau politik, untuk membina sebuah Malaysia yang bersatu padu, adil, makmur dan hebat,” kata Kit Siang.

Menurut Kit Siang, krisis yang berlaku di Perak itu mungkin merupakan krisis politik terakhir pada tahun ini yang telah menyaksikan banyak krisis politik bermula dengan Langkah Sheraton pada bulan Februari lalu.

“Malaysia berada di persimpangan jalan. Sekiranya kita kekal dalam trajektori menjadi kleptokrasi, kakistokrasi, dan negara yang gagal, apakah nasib negara kita menjelang tahun 2050?

“Mampukah negara kita, pada tahun 2050, mengeluarkan kita daripada trajektori sebuah kleptokrasi dan kakistokrasi, dan sebuah negara gagal?” kata Kit Siang.

Kit Siang menegaskan DAP yang ditubuhkan 54 tahun yang lalu untuk menjadikan Malaysia berjaya sebagai negara bertaraf dunia dalam pelbagai bidang yang diterokai manusia.

Parti itu juga tidak ditubuhkan untuk menentang mana-mana kaum, bahasa, agama atau budaya.

“Kami bertekad untuk menjayakan misi ini,” kata Kit Siang.

Gelaran ‘kleptokrat’ seringkali digunakan dalam kempen propaganda pemimpin Pakatan Harapan bagi memberi persepsi negatif terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang menerajui UMNO dan BN sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

Krisis politik di Perak antara UMNO, Pas dan Bersatu  yang bermula Jumaat lalu tamat semalam selepas ketiga-tiga parti yang membentuk gabungan kerjasama Perikatan Nasional mencapai persetujuan untuk mencalonkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Tampan Datuk Saarani Mohamad sebagai menteri besar Perak yang baharu.

Sebelum ini media melaporkan, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming bersedia untuk bekerjasama dengan UMNO untuk membentuk kerajaan negeri Perak yang stabil menjadi bukti parti itu bukan anti Melayu dan atau anti Islam.-SM

Tiada ulasan: