HALAMAN SANTAI

Jumaat, 11 Disember 2020

PN memang lemah tetapi PH jauh lebih lemah?


Hampir kesemua penyokong dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) kecewa dengan kegagalan pada 26 November lalu. Dari dalam hingga luar Dewan Rakyat, dari petang membawa ke malam dan hingga ke pagi, rasa kecewa itu diluahkan di merata media sosial.

Kecewanya kerana di sebalik keyakinan tinggi yang diulang-ulang untuk menjatuhkan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri yang lemah, rupa-rupanya pembangkang atau lebih khusus PH jauh lebih lemah.

Bukan sahaja lemah tetapi gagal menunjukkan sebuah koalisi yang padu pada detik yang diperlukan.

Besar harapan penyokong PH untuk melihat Belanjawan 2021 ini digugat dan keabsahan kerajaan PN terus dipertikaikan.

Namun malangnya harapan hanya tinggal harapan, semuanya menghampakan.

Terdahulu sudah tersebar bisik-bisik yang berkata tentang keretakan PH hanya menanti belah. Tetapi dengan mudah dan sambil lewa telah dinafikan oleh para pimpinan.

Semuanya memilih untuk berahsia walaupun zaman kini maklumat sulit begitu mudah untuk dikorek dan disebarkan.

Sebarang spekulasi tidak cukup dinafikan sahaja. Sebaliknya mesti dibuktikan dan dinafikan secara jelas. Dan apa yang berlaku pada Khamis lalu seperti mengiyakan spekulasi yang berlegar tentang kesuraman PH.

Kegagalan PH untuk memilih bersepakat berdiri pada Khamis lalu bukan perkara kecil dan boleh dilupakan dengan mudah seperti gesaan Anwar Ibrahim. Dalam kalangan penyokong PH, kecewa, malu dan marah diluahkan dalam pelbagai media sosial.

Tetapi berbanding marah dan kecewa, malu adalah rasa yang lebih perit untuk ditangguh oleh penyokong PH ketika ini. Rasa malu ini jauh lebih teruk berbanding rasa sakit.

Ada orang sanggup hadapi rasa sakit tetapi belum tentu mampu hidup menanggung rasa malu.

Malah kerana malu juga, manusia lebih sanggup mati daripada terus hidup. Manusia sanggup keluar daripada kampung halaman kerana terpaksa menanggung malu. Kalau kita sakit, manusia akan tumpang simpati. Tetapi kalau kita terpaksa menanggung malu, mati sentiasa menjadi opsyen utama.

Ini bukan cerita tentang menyokong perbuatan mati atau membunuh diri. Sebaliknya, ini adalah hakikat tentang betapa besarnya kesan rasa malu kepada manusia.

Sebab itu ada hadith yang dengan ringkas menyebut tentang pengaruh malu dalam hidup manusia iaitu “apabila manusia tiada malu, maka lakukanlah apa sahaja”.

Soalannya, dengan kegagalan mencapai cukup bilangan sebagai syarat undi belah bahagi pada Khamis lalu, tiada siapakah dalam kalangan pemimpin PH yang rasa malu?

Para pemimpin PH yang berada dalam Dewan Rakyat harus tahu kegagalan mereka pada Khamis lalu amat memalukan. Malangnya rasa malu itu terpaksa ditanggung secara sama rata dengan para penyokong PH yang selama ini gigih menjadi laskar siber tidak berbayar untuk mempertahankan blok pembangkang itu daripada serangan PN dan BN.

Dan kini pemimpin PH sendiri yang memberikan penyokongnya rasa malu itu. Semuanya terkedu melihat ahli Dewan Rakyat daripada PH pun ada yang tercengang tak pasti untuk berdiri atau duduk. Tiba-tiba seperti semuanya tidak pasti apa yang perlu dibuat.

Ahli dan penyokong peringkat bawahan sudah saling sindir menyindir satu sama lain. Jika sekarang peperangan berlangsung, PH sudah tewas sebelum masuk gelanggang.

Inilah ‘sabotaj’ sesama pembangkang paling mengaibkan yang telah disaksikan secara langsung oleh orang ramai dalam sebuah institusi yang dimuliakan.

Bayangkanlah pula kalau Khamis lalu memang Belanjawan 2021 digagalkan, rasanya PH pun terkedu tidak tahu apa yang perlu dibuat dengan kuasa yang baru diperoleh semula.

Tiada alasan yang mampu menyembuh rasa malu yang ditanggung para penyokong PH ini. Tiada guna untuk mengutuk Muhyiddin sebagai perdana menteri kerajaan yang lemah kerana rupa-rupanya yang mengutuk PN itu adalah pembangkang yang jauh lebih lemah dan tiada fokus.

Memanglah ada alasan yang digunakan Anwar Ibrahim apabila berkata, terlalu awal untuk Perikatan Nasional (PN) merayakan kemenangan ini.

Tetapi pada masa yang sama, apa pula kejayaan yang dicapai oleh PH?

Apa yang boleh dirayakan oleh pemimpin dan PH ketika ini? Tiada apa pun untuk dibanggakan. Hanya rasa malu yang cukup mengaibkan.

Usahlah berselindung dengan alasan untuk menggugat semasa perbahasan peringkat jawatankuasa pula. Jangankan rakyat, penyokong PH pun sudah jelak dengan retorik tiada berisi agenda seperti itu.

Jika boleh diukur, cukup pasti bahawa para penyokong PH kini semakin lesu dan tidak bermotivasi untuk memberi sokongan kerana kecelaruan tindakan daripada pemimpin PH sendiri.

Langsung tiada sebab kenapa bilangan 15 sokongan sebagai syarat undi belah bahagi itu gagal dicapai. PH perlu sepakat menghantar mesej yang jelas dan tegas untuk menolak Belanjawan 2021 yang dikemukakan oleh kerajaan yang korup dan khianat.

Alasan ini sahaja sudah cukup ampuh.

Bayangkanlah lagi, jika untuk mencukupkan bilangan 15 tempohari pun gagal dicapai, apakah ada sesiapa lagi dalam kalangan PH yang masih yakin bahawa Anwar Ibrahim mempunyai bilangan ahli Parlimen yang cukup untuk menyokongnya sebagai perdana menteri?

Rasa-rasanya seperti jauh panggang dari api!

Rakyat pernah memberi peluang dengan memilih PH dalam pilihan raya, rakyat pernah memberi kesempatan dengan menyokong PH membentuk kerajaan dan memerintah negara dan selepas PH jatuh akibat pengkhianatan Langkah Sheraton, rata-rata rakyat masih bersimpati dengan nasib yang menimpa PH.

Dan apabila ada usaha untuk merampas mandat rakyat daripada kerajaan pengkhianat ini, rakyat masih memberikan sedikit harapan dan sokongan untuk hal itu dilakukan.

Kini, apabila ada peluang untuk menjatuhkan atau sekurang-kurangnya memalukan Muhyiddin, atau sekurang-kurangnya menunjukkan PH masih berfungsi sebagai pembangkang yang digeruni, rupa-rupanya segala harapan itu punah dan berkecai.

Dan itulah yang disaksikan pada 26 November lalu. Dan kini adakah mana-mana pemimpin PH yang ingin merayu lagi kepada rakyat supaya menyokong mereka pada pilihan raya umum akan datang?

Setelah memiliki sedikit kesempatan untuk menolak Belanjawan 2021 pun masih gagal dilaksanakan dengan baik, apakah harapan yang ingin disebarkan kepada rakyat lagi selepas ini?

Pemimpin PH tidak perlu lagi mencipta 1001 alasan untuk membela diri. Kesilapan pada Khamis lalu adalah kesipuan yang terpaksa ditanggung oleh sekalian penyokong PH yang terpaksa menelan pahit sindiran oleh penyokong PN dan BN di laman-laman sosial.

Para penyokong PH yang ramai selama ini tidak pernah pun meminta supaya setiap sumbang bakti itu dibalas dengan bentuk material. Tetapi paling tidak, ambillah para pemimpin PH wajar mengambil tindakan yang boleh memberi rasa bangga dan megah dalam kalangan penyokong.

Pemimpin PH, bukalah telinga dan mata hati. Rasailah rasa malu yang sedang ditanggung penyokong PH kini. MINDA RAKYAT

(*) Arif Juhani, bekas wartawan Suara Keadilan dan Harakah

Tiada ulasan: