HALAMAN SANTAI

Ahad, 17 Januari 2021

Annuar mohon maaf pada penganjur program edar ayam beku percuma

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa memohon maaf kerana terpaksa mengeluarkan notis amaran bertulis kepada penganjur program "pengedaran ayam beku percuma" yang berlangsung di Putrajaya, Khamis lalu.

Menurut Annuar, ini kerana setiap program yang ingin dianjurkan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu.

"Jumlah premis yang kita lawati dan periksa semalam 323 dan notis amaran bertulis empat, ini termasuk program ayam percuma.

"Minta maaf, kalau buat program mestilah kena ada kebenaran pihak berkuasa tapi kalau tidak ada kebenaran ia satu kesalahan dan bila ada kesalahan, proses biasa terpaksa kita lakukan

"Tak salah nak buat charity, nak bagi barang apa-apa tapi SOP jangan dilanggar, kebenaran hendaklah dipohon," katanya dalam sembang santai di Facebook Kementerian Wilayah Persekutuan, hari ini.

Kawasan Presint 9 Putrajaya dilaporkan dikerumuni orang ramai pada Khamis lalu kerana program "pengedaran ayam beku percuma" yang dianjurkan oleh Pemuda Umno Putrajaya.

Gambar kesesakan lalu lintas menunjukkan kereta dan motosikal beratur panjang untuk mendapatkan ayam beku percuma tular di media sosial. Ini mencetuskan kebimbangan netizen mengenai kluster Covid-19 baru digelar 'kluster ayam beku'.

Ekoran daripada itu polis semalam mengeluarkan kompaun kepada penganjur program di bawah Seksyen 22 (B) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Mengulas lanjut, Annuar berkata pihaknya juga kini dalam proses mengagihkan bantuan perintah kawalan pergerakan (PKP) namun terpaksa memikirkan kaedah lain bagi mengelak dirinya turut sama melanggar SOP yang ditetapkan.

"Saya sendiri dah buat persiapan, saya nak adakan program agihan bantuan beras percuma kepada asnaf dan orang miskin yang jumlahnya beribu orang, setiap minggu.

"Pada mulanya saya nak buat di satu tempat saja, di Yayasan Wilayah Persekutuan, atau DBKL. Tapi, bila difikirkan balik jika seribu orang yang datang, saya sendiripun melanggar SOP.

"Jadi, kita sedang berbincang bagaimana kaedahnya," katanya.

Setuju perbanyakkan sanitasi

Sementara itu dalam perkembangan lain, Annuar berkata dia mendengar keluhan dan kritikan rakyat berhubung kekerapan operasi sanitasi awam oleh pihak kerajaan.

"Saya dapat pandangan daripada orang ramai yang menegur kerajaan dan saya rasa teguran ini adalah teguran yang baik sebenarnya. Dikatakan bahawa kerja-kerja sanitasi ini kurang, dulu rancak tetapi tidak sekarang.

"(Semasa kes) Covid 200, 300 tapi sanitasi banyak. Tapi sekarang kes beribu tak nampak kerka-kerja sanitasi.

"Saya ambil teguran dan kritikan orang ramai ini sebagai benda yang baik. Kita kena ambil tahu dan dengar mereka ini kerana mereka memerhatikan. Tetapi saya bersetuju bahawa kita perlu tingkatkan lagi sanitasi awam untuk kawasan tertentu saya akan hubungi bandar raya dan PBT untuk mempertingkatkan program sanitasi awam ini," tambahnya.

Tiada ulasan: