HALAMAN SANTAI

Rabu, 13 Januari 2021

Bukan hujah kuat menidakkan pilihanraya ketika darurat – ADUN DAP

  KHAIRULANUAR YAHAYA

Ahli Dewan Undangan Negeri (DAP) Tebing Tinggi Dr Abdul Aziz Bari menjelaskan pilihan raya pernah dilaksanakan ketika negara menghadapi tempoh darurat satu ketika dahulu.

Menerusi sesi Facebook Live malam tadi, Naib Pengerusi DAP Perak itu berkata, Pilihan Raya Umum (PRU) pertama negara pada tahun 1955 diadakan apabila tempoh darurat yang diisytiharkan antara tahun 1948 sehingga 1960.

Dalam tempoh tersebut PRU kedua juga  diadakan pada tahun 1959 sekaligus membuktikan bahawa darurat bukan halangan untuk mengadakan pilihan raya.

“Saya tidak nampak darurat ini digunakan untuk menghalang pilihan raya atau memberhentikan pilihan raya. Darurat secara teknikal iaitu Perkara 150 memberikan kuasa yang luas untuk kerajaan melakukan perkara tanpa ke Parlimen ataupun kerajaan boleh buat undang-undang tanpa ke Parlimen atau Parlimen boleh buat undang-undang atas perkara-perkara yang tidak boleh dibuat dalam keadaan biasa. Itu darurat sebenarnya.

“Darurat bukan untuk menggantung pilihan raya. Saya tak pasti kenapa sekarang menjadi satu kefahaman yang begitu. Rakyat Malaysia jangan lupa sejarah.  Bukan hujah yang kuat darurat ini untuk menidakkan pilihan raya. Jangan ingat darurat ini boleh menutup segala-galanya,” kata bekas pensyarah kanan Kuliayah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Semalam Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos berikutan kes jangkitan Covid-19 yang tinggi setiap hari.

Perkenan tersebut diberikan selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin bin Yassin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu semalam.

Muhyiddin dalam Pengumuman Khas Darurat semalam berkata, Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat yang dilaksanakan.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak berniat untuk tidak mengadakan pilihan raya, namun perkara utama yang menghalang beliau daripada menasihati Yang di-Pertuan Agong agar membubarkan Parlimen untuk pilihanraya diadakan ialah kerana jangkitan pandemik COVID-19 yang tinggi setiap hari ketika ini.-SM

Tiada ulasan: