HALAMAN SANTAI

Rabu, 13 Januari 2021

Darurat bencana taktik panjangkan hayat PN?

HASNURUL MOHAMED

ANALISIS

KURANG lebih tujuh bulan rakyat Malaysia akan hidup dalam suasana darurat yang bukan dibawah bidang kuasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau tentera seperti mana yang diumumkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam perutusan khas beliau yang disiarkan secara langsung semalam, Muhyiddin berkata, pengumuman darurat selama 201 hari itu, bermula 11 Januari 2020, telah mendapat perkenan persetujuan Yang di-Pertuan Agong dan baginda berpuas hati dengan langkah yang diambil mengikut Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan.

 

Bercakap tentang darurat, ada yang menyambutnya dengan sinis kerana kata-kata gurauan yang bertebaran berbunyi, “Apabila darurat begini, dapatlah diceritakan kepada anak cucu.”

Memang bunyinya agak lucu tetapi sememangnya pengumuman darurat pada 12 Januari, tetapi tempoh daruratnya bermula pada 11 Januari, bukanlah darurat yang pernah berlaku di Malaysia pada 13 Mei 1969.

Beza dan amat beza sekali. Bahkan darurat 11 Januari 2021 yang diumumkan semalam oleh Muhyiddin dipandang juga sebagai taktik untuk Pakatan Nasional (PN) bertahan sebagai kerajaan selepas mengambil alih pemerintahan daripada kerajaan 22 bulan – Pakatan Harapan (PH). 

Gebang kedai kopi di saat-saat sebelum bermulanya PKP yang diberi gelaran sebagai PKP 2.0 yang bermula hari ini, 13 Januari 2021, adalah gebang tentang darurat 11 Januari  yang dikaitkan dengan Muhyiddin perlu melakukan sesuatu untuk mempertahankan kerajaan pintu belakang.

Pintu belakang atau pintu depan, kerajaan pimpinan Muhyiddin ini sedikit sebanyak dapat diterima rakyat tetapi dalam kalangan ahli-ahli politik dan parit-parti politik di negara ini, tidak habis-habis meletakkan kuasa di hadapan mereka.

Walaupun ada dalam kalangan ahli politik yang cuba untuk memberikan keutamaan kepada keadaan negara dan ekonomi yang terjejas disebabkan oleh pendemik Covid-19 ini namun keterampilan mereka ini agak dikaburi dengan kebimbangan hilang kuasa memerintah.

 

Tidak perlu disebut secara terang parti politik manakah atau ahli politik manakah yang mungkin takut kehilangan kuasa, yang takut tidak dilantik, yang takut mungkin juga dengan bayang-bayang sendiri dan bayang-bayang silam namun pengumuman darurat oleh Perdana Menteri Muhyiddin dilihat sebagai serampang penyelamat kuasa dan menyekat penularan gelombang ketiga Covid-19.

Dalam ucapannya semalam, Muhyiddin turut menegaskan tentang pembubaran Parlimen dan isu yang menjadi modal ahli-ahli politik atau politikus iaitu pilihan raya.

Kata Muhyiddin, yang penting ialah mengawal pendemik Covid-19 dalam negara. Sehubungan itu, Parlimen tidak akan bersidang sepanjang tempoh darurat.

Apabila Parlimen tidak bersidang, maka ujar Muhyiddin, pilihan raya, PRU (Pilihan Raya Umum) dan PRK (Pilihan Raya Kecil) juga tidak akan diadakan.

Mengapa? Kerana sebagai pemimpin kerajaan, saya pentingkan nyawa rakyat. Saya perlu jaga nyawa rakyat, tegas beliau.

Inilah iktibar yang boleh diambil daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang diadakan tahun lepas sekitar September.

 

Ketika itu, ramai yang skeptikel untuk diadakan PRN Sabah kerana wabak Covid-19 yang melanda Malaysia tetapi apabila SPR mengumumkan PRN diadakan, bertandinglah calon-calon dan parti-parti untuk menentukan siapakah yang berhak memerintah negeri itu.

Habis PRN Sabah, ‘habislah’ usaha untuk mengekang penularan wabak Covid-19 kerana kes-kes yang dicatat, meningkat.

Swab test dan kuarantin dilakukan tetapi yang positif Covid-19, tetap positif. Yang kontak rapat memang tidak boleh nak lari ke mana.

Kebimbangan gelombang ketiga Covid-19 seolah-olah tidak berlaku kepada rakyat Malaysia. Rentetan dari situlah ada yang menyelar diadakan PRN Sabah.

Nasi sudah menjadi bubur, macam-macam kluster timbul sehinggakan hari ini, jika ditanya kluster terkini, jawapannya entah dan tidak terhitung bilangan kluster yang wujud.

 

Semalam, Muhyiddin juga berkata, bukan beliau mahu menghalang atau menasihati baginda Yang di-Pertuan Agong agar membubarkan Parlimen, mengadakan pilihanraya tetapi pendemik Covid-19 masih menular.

Sama ada retorik Muhyiddin atau mendengar keluhan rakyat marhaen, semua ahli politik diajak ketepikan politik masing-masing.

Semua ahli politik di Malaysia diajak bersatu, bersolidariti, berkerjasama dalam menangani  Covid-19 yang angka kesnya mencatat peningkatan sehingga lebih 3,000 kes baharu semalam.

Ajakan Muhyiddin itu, adakah ajak-ajak ayam? Apakah akan diterima oleh ahli-ahli politik berlainan parti dengan hati yang ikhlas atau sekadar bermain wayang dan sandiwara? – SM

Tiada ulasan: