HALAMAN SANTAI

Rabu, 13 Januari 2021

Darurat bukan satu perkara baru – Dr Ahmad Merican .

HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: Profesor Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Ahmad Murad Merican berkata, rakyat tidak perlu takut dengan istilah darurat kerana ia bukan suatu perkara baharu dilaksanakan dalam Negara Malaysia khususnya.

Demikian kata beliau bagi mengulas mengenai desas-desus sesetengah pihak yang cuba mempertikaikan dan mengapikan rakyat tentang proklamasi darurat yang dilaksanakan.

Beliau berkata, proklamasi darurat ialah situasi yang memerlukan tindakan drastik dan segera bagi mengekang penularan wabak COVID-19 yang mangancam nyawa, kesihatan rakyat, sekaligus termasuk ekonomi negara.

“Negara Malaysia sebelum ini telah berdepan dan melalui hampir beberapa darurat seperti darurat nasional dan darurat khusus kepada negeri seperti Sarawak dan Kelantan,” katanya.

Pun begitu katanya, perkara ini tidak perlu untuk dipertikaikan, namun sebaliknya perlu dilihat dari sudut kebaikan buat kesihatan dan keselamatan rakyat.

“Dalam keadaan ini, rakyat terutamanya tidak perlu khuatir walaupun darurat diisytiharkan dalam negara kita, semua pihak harus terus menghormati prinsip dan proses kedaulatan undang-undang yang ada.

“Pengisytiharan darurat tidak bermakna negara kita tidak ada lagi undang-undang dan semua orang berhak untuk buat apa-apa sahaja yang mereka suka,” katanya.

Bagaimanapun, proklamasi darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan ialah satu langkah untuk mengisytiharkan sesuatu masalah besar dihadapi negara sebagai jalan untuk menghadapi cabaran keselamatan dan perlaksanaan mengatasi COVID-19.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan mengisytiharkan darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan selepas diperdengarkan cadangan daripada Kabinet.

Justeru itu, sepanjang tempoh ini juga Pilihan Raya Umum (PRU) mahupun Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak akan diadakan, malah Parlimen dan Sidang Undangan Negeri turut ditangguhkan.

Tiada ulasan: