Bernama
Al-Sultan
Abdullah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi
Darurat
dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif
membendung wabak
COVID-19 di Malaysia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR:
Pengisytiharan Proklamasi Darurat pada waktu COVID-19 semakin mengganas
dan 'politiking' yang tidak berkesudahan adalah tepat pada masanya bagi
menjamin keselamatan dan kelangsungan hidup rakyat, demikian menurut
pakar perlembagaan.
Mereka berpendapat
dengan Proklamasi Darurat yang diisytihar pada Selasa, 100 peratus fokus
kini dapat dihalakan kepada usaha memerangi penularan COVID-19 agar ia
tidak menjadi lebih parah sekali gus memulihkan negara daripada kesan
pandemik itu.
Pakar
perlembagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Muhammad Fathi
Yusof berkata Proklamasi Darurat merupakan langkah yang sangat baik,
kerana ia juga dapat mengendur dan 'merehatkan' ketegangan politik
sekali gus memberi peluang kepada usaha-usaha memerangi COVID-19.
"Pertamanya,
pengisytiharan darurat ini adalah satu langkah yang amat tepat bagi
memastikan usaha membendung wabak COVID-19 dapat dilaksanakan dengan
cepat, tegas dan menyeluruh, tanpa terikat dengan sekatan-sekatan di
sudut pentadbiran atau birokrasi.
"Secara
tidak langsung, ia juga dapat memastikan tidak berlakunya Pilihan Raya
Umum dalam tempoh ini...saya percaya ia bagi memastikan seluruh pemimpin
politik dan juga rakyat memberi tumpuan kepada masalah sebenar negara
iaitu COVID-19, masalah ekonomi dan masalah kesempitan hidup, bukannya
kepada kemelut politik di dalam negara," katanya.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Perisytiharan Darurat: Bukan rampasan kuasa tentera, tiada perintah berkurung
Beliau
berkata memandangkan darurat boleh bertindak sebagai mekanisme untuk
mengelak berlakunya sebarang bentuk pilihan raya, ia adalah amat relevan
memandangkan akan berlakunya aktiviti kempen dan pergerakan pengundi
yang boleh meningkatkan risiko jangkitan COVID-19 sekiranya pilihan raya
diadakan.
"Mungkin ada pihak-pihak
tertentu yang inginkan pilihan raya dijalankan segera atau ingin
mengambil alih kerajaan dalam waktu COVID-19 sedang memuncak...saya
percaya langkah pengisytiharan darurat ini sekali gus memberikan
ketenteraman politik sekurang-kurangnya sehingga 1 Ogos depan," katanya.
Bagaimanapun,
beliau berpendapat bagi mengekalkan konsep semak dan imbang, adalah
tidak salah sekiranya persidangan Parlimen tetap diteruskan sepanjang
darurat bagi memberikan ruang kepada Ahli Parlimen untuk mengemukakan
pandangan rakyat bawahan.
"Jika diadakan
sidang Parlimen, saya percaya tidak akan timbul cadangan untuk usul
tidak percaya atau seumpamanya kerana masing-masing memahami fokus yang
perlu diberikan iaitu bagi menyelesaikan masalah yang lebih besar ini.
"Walaupun
demikian, kerajaan tetap mempunyai hak sama ada untuk menangguhkan
sidang Parlimen atau mengubah kaedah persidangan dengan cara persidangan
dalam talian, mengg
unakan ordinan-ordinan tertentu atau Ordinan Darurat
sekiranya terdapat risiko jangkitan COVID-19 akibat persidangan
berkenaan," katanya.
Muhammad Fathi juga
menyifatkan penubuhan Jawatankuasa Khas Bebas sebagai langkah yang
sangat baik bagi memastikan darurat benar-benar bertujuan untuk
menangani wabak dan bukannya untuk tujuan politik.
Kewujudan
wakil pembangkang dalam jawatankuasa itu menunjukkan keseriusan
kerajaan memastikan ia tidak menjejaskan proses demokrasi.
Dalam
pada itu, pakar undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia (UIAM) Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata meskipun
enam negeri sudah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun
darurat tetap diisytiharkan memandangkan ia dapat menangani situasi
pandemik yang berada pada tahap kritikal, dengan lebih pantas.
"Darurat
memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong dan Eksekutif untuk membuat
undang-undang dengan segera serta mengambil tindakan drastik untuk
mengatasi ancaman sekarang.
"Undang-undang
yang lebih ketat daripada PKP boleh dibuat melalui Ordinan Darurat,
misalnya ordinan boleh dibuat untuk menaikkan kompaun kepada mereka yang
ingkar arahan daripada RM1,000 kepada jumlah yang lebih besar, malah
perintah penahanan sementara juga boleh dibua
t," katanya.
Nik
Ahmad Kamal yang juga Ketua Kluster Governans, Perundangan dan
Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara berkata dalam keadaan jangkitan
yang nampak sukar dikawal, ditambah tekanan yang dialami oleh hospital
dan 'frontliners' di perkhidmatan kesihatan, pengisytiharan darurat
adalah cara yang paling berkesan.
"Darurat
boleh diisytihar dalam keadaan keselamatan atau kehidupan ekonomi, atau
ketenteraman awam terancam dan dalam konteks COVID-19, semua elemen
untuk pengisytiharan darurat itu wujud...jangkitan COVID-19 bertambah
setiap hari, hospital tertekan dengan jumlah pesakit yang bertambah,
rakyat bimbang untuk bebas dengan aktiviti mereka, ekonomi terjejas
kerana perniagaan terpaksa dikawal dan sebagainya," katanya.
Sementara
itu, penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu di Universiti
Teknologi Mara (UiTM) Profesor Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata
pengisytiharan darurat itu juga sebagai langkah pencegahan segera bagi
mengatasi peningkatan kes harian COVID-19 di negara ini.
"Apa
yang membezakannya sebagai contoh pengisytiharan darurat di Batu Sapi,
Sarawak sebelum ini iaitu untuk menangguhkan Pilihan Raya Kecil dan
darurat yang diumumkan hari ini lebih kepada memutuskan penyebaran
COVID-19," katanya ketika dihubungi menerusi program Malaysia Petang Ini
yang disiarkan secara langsung menerusi Bernama TV pada Selasa.
Shamrahayu
berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah, mempunyai hak untuk memperkenankan selama mana
tempoh darurat itu dilaksanakan.
Terdahulu,
Al-Sultan Abdullah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat
dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak
COVID-19 di Malaysia.
Datuk Pengelola
Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan
Istana Negara memaklumkan Seri Paduka memberi perkenan tempoh
pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika
angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan
berkesan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan