HALAMAN SANTAI

Isnin, 11 Januari 2021

'Fitnah' - Warisan nafi dakwaan akan sertai PN

Malaysiakini

Beberapa pemimpin Warisan tampil menafikan dakwaan yang tular di media sosial mengatakan parti itu akan menyertai Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking memberitahu Malaysiakini bahawa dakwaan itu "langsung tidak betul".

Setiausaha Agung parti itu Loretto Padua Jr pula menyifatkannya sebagai "fitnah".

"Warisan bermaruah, Warisan berprinsip," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Terdahulu, Ketua Pemuda Warisan Mohd Azis Jamman juga menafikan dakwaan itu di Facebooknya.

"Kenyataan yang tersebar bahawa Warisan sertai PN adalah palsu, katanya.

Hantaran tular itu dibuat akaun Facebook bekas setiausaha Umno Bandar Tun Razak Zaharin Mohd Yasin.

"Berita terkini. Warisan sertai PN. Kerajaan PN tidak tumbang," menurut hantaran itu.

Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin kini memiliki sokongan 110 daripada 220 ahli Dewan Rakyat setelah Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub mengumumkan dia tidak lagi menyokong gabungan itu.

Meskipun dengan perkembangan itu, kerajaan PN masih dianggap berdiri, sekurang-kurangnya buat masa ini, disebabkan perpecahan di blok pembangkang.

PH hanya mempunyai 91 ahli Parlimen manakala 17 ahli Parlimen pembangkang lagi tidak menyertai mereka.

Tiada ulasan: