HALAMAN SANTAI

Selasa, 12 Januari 2021

Fungsi semak dan imbang Parlimen tetap berjalan ketika darurat - speaker

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Kedudukan dan tanggungjawab ahli Parlimen kekal walaupun sidang Dewan Rakyat tidak dilaksanakan sepanjang tempoh darurat, menurut Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Menegaskan bahawa Parlimen tidak dibubarkan, Azhar berkata tanggungjawab ahli Parlimen diteruskan menerusi kaukus serta jawatankuasa pilihan khas yang boleh diteruskan.

“Melalui ucapan perdana menteri, dikatakan antara lain semua sesi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri digantung sepanjang tempoh darurat. Ini bermakna hanya proses perundangan Dewan Rakyat tidak dapat dilaksanakan.

“Namun demikian, kedudukan dan tanggungjawab semua ahli parlimen sebagai wakil rakyat tetap sama seperti sedia kala dan berterusan kerana penggantungan sesi parlimen bukanlah bererti Parlimen telah dibubarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azhar, semua aktiviti kaukus atau Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPG) dan Jawatankuasa Pilihan Khas diteruskan kecuali jika ia dikekang oleh ordinan yang boleh digubal Yang di-Pertuan Agong nanti.

“Melalui Jawatankuasa Bebas dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen akan terus menjalankan fungsinya di dalam proses semak dan imbang sebagai institusi unggul badan perundangan negara,” katanya lagi.

Hari ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengisytiharan darurat yang berkuatkuasa sehingga 1 Ogos.

Sepanjang tempoh itu, sidang Parlimen dan DUN tidak akan bersidang sehingga suatu masa yang ditetapkan oleh Agong.

Sebarang pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil juga tidak akan diadakan sehingga jawatankuasa khas bebas - yang akan ditubuhkan - memutuskan ia selamat diadakan.

Bagaimanapun, sepanjang tempoh darurat berlangsung, pentadbiran kerajaan, jemaah menteri dan majlis mesyuarat kerajaan negeri-negeri akan terus berfungsi. 

Menurut Perkara 150(5), Parlimen tetap boleh menggubal undang-undang berkenaan darurat sepanjang tempoh penguatkuasaannya.

Bagaimanapun, eksekutif dengan jelas mengatakan ordinan akan diwartakan bagi menghalang Parlimen daripada bersidang.

'Semak dan imbang jenis apa?'

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Wong menyifatkan kenyataan Azhar sebagai "tidak jujur" memandangkan semua jawatankuasa tidak dapat membentangkan laporannya di Parlimen.

"Ahli Parlimen tidak ada ada peluang untuk membangkitkan isu dalam laporan di Parlimen," katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, Peraturan Mesyuarat menyatakan semua pendengaran dan mesyuarat jawatankuasa hanya boleh didedahkan menerusi Parlimen.

"Kami tidak akan dapat melaksanakan tugas secara berkesan tanpa sidang Parlimen.

"Semak dan imbang jenis apa ini? Memang menyedihkan," katanya lagi.

Tiada ulasan: