HALAMAN SANTAI

Isnin, 11 Januari 2021

Hishammuddin sebagai Timbalan Perdana Menteri?

Astro Awani
Hishammuddin sebagai Timbalan Perdana Menteri?
Tindakan melantik Hishammuddin sebagai TPM bagaimanapun dijangka 
hanya akan mengakibatkan kemarahan pimpinan UMNO, bukan melegakan 
hati mereka. -Gambar fail
 
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bakal dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sebagai usaha mengukuhkan kerajaan Perikatan Nasional, serta mengelakkan lebih banyak ancaman dari parti UMNO, menurut laporan The Malaysian Insight hari ini.
 
Memetik sumber, portal itu berkata, ia difahamkan tindakan tersebut bagaimanapun hanya mengakibatkan kemarahan pimpinan UMNO, bukan melegakan hati mereka.
 
Menurut laporan itu lagi, kemarahan itu berkemungkinan besar memandangkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu sudah pun membuat ketetapan untuk mengkaji semula hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
 
Selain itu, hubungan antara dua parti tersebut semakin renggang selepas Ahli Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menjadi ahli Parlimen kedua UMNO menarik balik sokongan secara rasmi dari Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
 
“Hisham akan menjadi Timbalan Perdana Menteri secepat mungkin,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insight lagi.
 
Seorang sumber lain bagaimanapun memaklumkan kepada portal itu bahawa, cadangan itu sudah dibuat, namun masih belum dimaklumkan kepada komponen Perikatan Nasional yang lain.
 
Menurut portal itu lagi, sekiranya Hishammuddin dilantik sebagai orang nombor dua dalam Kerajaan Persekutuan, ia mungkin akan menimbulkan rasa tidak puas hati pemimpin kanan yang lain, seperti Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Naib Pengerusi Perikatan Nasional, dan Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
 
Selain itu, beberapa pemerhati menganggap tindakan itu mungkin bakal memakan diri memandangkan Hishammuddin, yang juga Menteri Luar, dilihat tidak berapa selari dengan pendirian dan aspirasi pimpinan kanan UMNO seperti Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Backbenchers Barisan Nasional (BNBBC) Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tiada ulasan: