HALAMAN SANTAI

Ahad, 17 Januari 2021

Kit Siang gesa adakan persidangan kebangsaan semua parti politik sekat wabak Covid-19

Pada kadar jangkitan harian lebih 4,000, jumlah kes jangkitan Covid-19 dijangka 
mencecah angka 200,000 orang hujung bulan ini.

PETALING JAYA: DAP menggesa diadakan persidangan kebangsaan semua parti politik di negara ini di bawah seliaan Parlimen bagi merangka strategi dan pendekatan baharu dalam perang menghadapi pandemik Covid-19.

Parti itu juga menyeru supaya ditamatkan “politik tipu muslihat”, sekali gus mencadangkan pertemuan semua parti politik bagi mencapai konsesus baharu bahawa ancaman terbesar negara kini ialah wabak Covid-19.

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata, perintah darurat yang dilaksanakan Selasa lepas tidak menghalang Perdana Menteri Muhyiddin Yassin daripada mengadakan persidangan khas Dewan Rakyat serta-merta bagi membuka jalan kepada persidangan kebangsaan itu.

“Tujuan Persidangan Kebangsaan mengenai pendekatan dan strategi melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” di bawah Parlimen dalam perang melawan wabak Covid-19 ini adalah untuk memastikan hala tuju peningkatan harian empat angka ini dikawal kembali kepada peningkatan dua atau satu angka sehari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, pada kadar semasa, jumlah jangkitan kes akan mencecah angka 200,000 orang pada hujung bulan ini.

“Sekiranya purata peningkatan kes kekal pada kadar 4,000 kes sehari, kita akan berada dalam kalangan 57-58 negara teratas di dunia menjelang pengakhiran PKP 2.0 pada 26 Januari 2021, dan Malaysia akan mengatasi kedudukan Filipina, menjadi dalam kalangan 30 ke 40 negara teratas di dunia dengan jumlah kes tertinggi.”

Lim berkata, sewaktu PKP pertama kali dilaksanakan pada 18 Mac tahun lepas, terhadap 790 kes dan dua kematian.

“Ini menunjukkan strategi negara semasa telah gagal dan perlu disemak semula dan diperbaiki.”

“Tanpa niat jahat atau tuduh menuduh, marilah kita mengakui yang seruan untuk satu strategi dan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam melawan Covid-19 tidak diendahkan selama ini.”

Tiada ulasan: