HALAMAN SANTAI

Khamis, 14 Januari 2021

Madius ajak MP BN tolak Muhyiddin sertai PH Plus

Eleanor Michelle Patrick
Madius ajak MP BN tolak Muhyiddin sertai PH Plus
 
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menyeru mana-mana Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang tidak 'sebulu' dengan pemerintahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) Plus.
 
Beliau yang juga Presiden Parti Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) berkata, penyertaan itu membolehkan gabungan tersebut merangka polisi dan dasar alternatif pasca Muhyiddin dan Perikatan Nasional (PN).
 
Untuk rekod, beberapa Ahli Parlimen BN, Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Nazri Aziz dan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub telah secara terbuka menarik sokongan mereka kepada Muhyiddin sebelum ini.
 
"Kepada rakan-rakan separlimen saya, Ahmad Jazlan, Nazri Aziz, Tengku Razaleigh Hamzah dan kawan lama di BN yang tinggalkan Muhyiddin, saya ingin mengajak anda menyertai kami dalam PH Plus.
 
"Ini adalah untuk berbincang mengenai dasar alternatif pasca Muhyiddin dan pasca PN," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
 
UPKO merupakan parti komponen kepada PH Plus dan merupakan sekutu rapat kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) di Sabah.
 
Terdahulu, Madius dalam kenyataan yang sama turut menggesa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kabinet bayangan dalam tempoh seminggu ini sebagai polisi PH Plus menghasilkan polisi menghadapi cabaran ekonomi dan pandemik COVID-19.
 
"Mohon pengerusikan kabinet bayangan PH Plus selewat-lewatnya pada Rabu hadapan dan menggunakan aplikasi Zoom,"katanya.

Tiada ulasan: