HALAMAN SANTAI

Sabtu, 9 Januari 2021

MKT Setuju Usul Ke Perhimpunan Agung UMNO: Perkukuh Muafakat Nasional, Putuskan Hubungan PPBM

UMNO ONLINE

KUALA LUMPUR– Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan memaklumkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat telah memperhalusi semua usul yang dibangkitkan oleh 189 Bahagian-bahagian UMNO yang telah bersidang di seluruh Malaysia.

Katanya, antara usul-usul utama yang dibangkitkan oleh majoriti besar UMNO Bahagian-bahagian ialah mempertahankan hubungan kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional mengambil kira sentimen permuafakatan yang telah dibina ketika 22 bulan bersama-sama sebagai pembangkang.

“Memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semasa menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

“Menggesa supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 dapat diadakan sebelum berakhir suku pertama 2021 bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat, tertakluk kepada keadaan COVID-19,” katanya dalam kenyataan media selepas mesyuarat MKT UMNO yang diadakan di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn, malam tadi.

Ujarnya, mesyuarat bersetuju untuk membawa usul-usul ini ke Perhimpunan Agung UMNO pada 31hb Januari 2021 ini bagi dibahas dan diputuskan di peringkat tertinggi parti sebagaimana peruntukan Perlembagaan tersebut.

Ini adalah berasaskan usul-usul utama yang dibangkitkan oleh Bahagian-bahagian; dan atas faktor-faktor berikut:

• bahawa usul-usul ini menyentuh soal dasar dan pendekatan asas yang akan mempunyai kesan besar kepada masa hadapan parti dan negara;

• Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan pada 31 Januari 2021;

• Peruntukan Perlembagaan UMNO dimana usul-usul Bahagian akan diangkat ke Perhimpunan Agung.

Terdahulu, UMNO telah selesai melaksanakan mesyuarat peringkat Bahagian yang bersidang dalam norma baharu iaitu dilaksanakan secara maya dengan kehadiran terhad pada tarikh 1-3 Jan di seluruh negara. Hal tersebut dibuat ekoran penularan pandemik COVID-19 dan mematuhi standard operasi prosedur (SOP) yang telah ditetapkan. – UMNO Online

Tiada ulasan: