Abdul Hadi Che Awang
Pas
juga akan bertindak sebagai orang tengah atau pendamai dalam
menyelesaikan kekusutan membabitkan beberapa isu antara parti UMNO
dan
Bersatu ketika ini. - Gambar fail
ALOR SETAR:
Ketegangan yang berlaku ketika ini khususnya melalui beberapa kenyataan
daripada pimpinan-pimpinan parti UMNO, Bersatu dan PAS dianggap sebagai
permasalahan dalaman yang diibaratkan seperti 'mengalih perabot' di
dalam rumah.
Presiden Pas, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang menyatakan permasalahan itu diyakini mampu diselesaikan
sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) memandangkan ketiga-tiga parti
itu kini merupakan satu keluarga.
Tambah
beliau, Pas juga akan bertindak sebagai orang tengah atau pendamai
dalam menyelesaikan kekusutan membabitkan beberapa isu antara parti UMNO
dan Bersatu ketika ini.
Jelasnya,
gabungan berkenaan juga dijamin akan membentuk satu kerjasama yang lebih
erat dan utuh khususnya dalam membawa suara perpaduan Melayu Islam
termasuk bagi mendepani PRU-15 yang dijangka diadakan dalam masa
terdekat.
"Kami
(Pas, UMNO, Bersatu) sudah berkeluarga, (kami) duduk satu rumah
sekarang ini, semua itu parti Melayu, UMNO parti Melayu, Bersatu parti
Melayu; kita utamakan perpaduan Melayu Islam dulu, dalam masa yang sama
menyedari masyarakat majmuk mesti bekerjasama dengan kita.
"Jadi
urusan UMNO, Bersatu, PAS ini urusan dalam rumah, kadang-kadang orang
tengok kita bising itu, 'alih perabot' saja," katanya.
Abdul
Hadi berkata demikian ketika ditemui media selepas Sesi Libat Urus Duta
Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bersama peladang kawasan MUDA, di
Ibu Pejabat MADA, Ampang Jajar, di sini pada Isnin.
Sabtu
lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa
Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO sudah bersetuju dengan usul untuk
memutuskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)
dalam menghadapi PRU15.
Beliau
bagaimanapun menjelaskan keputusan muktamad atau keabsahan berhubung
usul berkenaan perlu diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang
akan diadakan pada 31 Januari depan.
Dalam
pada itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula, menghormati
sebarang keputusan dibuat UMNO termasuk penolakan kerjasama dengan parti
itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Naib
Presidennya, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, tiada sebab untuk
beliau atau mana-mana pihak menidakkan hak parti yang berbeza fahaman,
khasnya dalam menentukan hala tuju masing-masing.
Sebelum
ini, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor berkata
Pas akan berperanan sebagai jalan pendamai bagi menjernihkan hubungan
antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) serta gabungan parti
Muafakat Nasional (MN).
Jelasnya, pihak
Pas tidak akan sesekali mencetuskan api permusuhan melalui pelbagai
tindakan dalam keadaan yang berlaku ketika ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan