HALAMAN SANTAI

Selasa, 12 Januari 2021

Pemimpin Umno bimbang PM kekang hak asasi

Malaysiakini

Amaran keras Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kepada pihak yang cuba menganggu usaha kerajaan dalam membendung penularan Covid-19 ditanggapi secara berbeza oleh seorang pemimpin Umno.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Razlan Rafii berkata pengisytiharan darurat dikhuatiri boleh mengekang kebebasan bersuara dan hak asasi manusia.

“Apabila amaran itu diberi, saya percaya ketika seseorang itu bercakap perkara yang rasanya akan melihat kepada terlalu subjektif atau mereka rasa gugat kerajaan, mereka (kerajaan) boleh tangkap (pihak itu). Esok juga boleh tangkap.

“Ini adalah ketakutan darurat yang semua rakyat fikirkan. Dia macam mulut dikunci, kita tidak boleh cakap apa pun termasuk di media sosial hari ini dan sekiranya ada dalam kawan-kawan kita (dan) rakyat malaysia yang bangkitkan isu ini, kuasa ada dengan perdana menteri untuk menangkap sesiapa sahaja atau yang boleh bangkit perkara-perkara ini.

"Bidang kuasa perdana menteri ini terlampau tinggi,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tambahnya lagi, dia juga berasa bimbang keputusan pengisytiharan darurat itu turut memberi impak ekonomi kepada negara.

“Lapan bulan ini bukan satu jangka masa yang pendek ya. Meskipun kita boleh selesaikan masalah Covid-19, tetapi kita tidak tahu apa implikasi negara luar melihat Malaysia dari sudut ekonomi dan pentadbiran.

“Serta (pandangan) negara luar selepas mereka menilai proklamasi (darurat dalam Perkara) 150 (Perlembagaan Persekutuan) itu, dia tidak akan melihat kepada perkara kesihatan.

"Dia akan lihat kepada kuasa yang diberikan kepada kerajaan Muhyiddin. Adakah ia boleh berikan kelebihan kepada mana-mana negeri lapan bulan ini,” dakwanya.

Bagaimanapun, Muhyiddin hari ini memberi jaminan bahawa aktiviti ekonomi negara akan terus berfungsi sepanjang tempoh darurat namun tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kerajaan juga komited untuk memastikan amalan-amalan tadbir urus terbaik terus diamalkan sepanjang tempoh pelaksanaan darurat ini.

“Organisasi kawal selia negara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa iaitu Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia akan terus memainkan peranan mereka sebagai pemangkin pengawal selia dan pemudah cara syarikat dan pasaran,” kata perdana menteri.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah hari ini memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan perkara berkenaan pada kenyataan hari ini.

Susulan kenyataan dari pihak Istana, Muhyiddin membuat perutusan khas bagi menjelaskan secara terperinci berhubung pengisytiharaan darurat tersebut.

Antaranya, sebarang pilihan raya tidak akan diadakan sepanjang perintah darurat yang berkuat kuasa sehingga 1 Ogos 2021.

Sementara itu, Razlan berkata kerajaan boleh melaksanakan usaha-usaha lain selain mengisytiharkan darurat.

“Buat seperti biasa perintah kawalan pergerakan (PKP) juga boleh, kalau dari sudut politik, kalau tiada majoriti, perdana menteri boleh nasihat Agong dan lihat kalau ada orang lain ada majoriti, kita boleh tukar kepada orang lain yang boleh tadbir negara ini.

“Sebab apabila kita buat darurat ini dia ada banyak implikasi yang kita tidak boleh kawal. 

"Pandangan ini juga adalah pandangan yang telah kita debatkan ketika perdana menteri gagal dapat perkenan Agong untuk darurat sebelum ini,” katanya lagi.

Tiada ulasan: