HALAMAN SANTAI

Selasa, 12 Januari 2021

PH tolak alasan isytihar darurat demi selamatkan Malaysia daripada Covid-19


PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) menolak alasan Perdana Menteri, Muhyidddin Yassin melaksanakan darurat untuk menyelamatkan Malaysia daripada Covid-19.

Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng menerusi satu kenyataan bersama berkata, undang-undang sedia ada, termasuk pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang diumumkan semalam mencukupi untuk mengumpul semua sumber dan kekuatan bagi memerangi pandemik itu.

Mereka berkata, tindakan Muhyiddin mencadangkan pelaksanaan darurat ketika beliau kehilangan sokongan majoriti AHli Parlimen tidak boleh diterima sama sekali kerana ia memberi kuasa mutlak kepadanya selaku perdana menteri.

“Kuasa darurat ini bermakna memberi kuasa mutlak kepada perdana menteri untuk melakukan hampir apa saja sewenang-wenangnya.

“Jangan berselindung di sebalik Covid-19 dan membebankan rakyat dengan pengisytiharan darurat demi menyelamatkan diri sendiri.”

Mereka berkata, tindakan kerajaan menggantung Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ketika eksekutif dan badan kehakiman masih boleh berfungsi seperti biasa, akan menjejaskan proses semak dan imbang, merencatkan demokrasi negara serta menafikan suara rakyat.

Mereka juga bimbang pelaksanaan darurat akan menjejaskan usaha menghidupkan semula ekonomi dan keyakinan pelabur, tidak dapat membantu mengatasi masalah pengangguran serta rakyat kehilangan pekerjaan.

Mesyuarat Majlis Presiden PH yang dipengerusikan Anwar berlangsung hampir 2 jam mulai 4 petang.

Tiada ulasan: