HALAMAN SANTAI

Rabu, 13 Januari 2021

PRN Sarawak tidak akan diadakan dalam tempoh darurat - Abdul Karim

Astro Awani
PRN Sarawak tidak akan diadakan dalam tempoh darurat - Abdul Karim
Menurut Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Sarawak perlu menghormati 
pengisytiharan darurat untuk tidak mengadakan pilihan raya negeri ketika 
 ini. -Gambar fail
 
KUCHING: Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) tidak boleh diadakan ketika tempoh darurat masih berkuat kuasa iaitu sehingga 1 Ogos 2021, melainkan ditamatkan lebih awal.
 
Sehubungan itu, Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pengisytiharan darurat oleh kerajaan sekali gus mengubah keputusan kerajaan negeri meskipun Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bakal berakhir Jun ini.
 
Berdasarkan Perlembagaan negeri, PRN12 Sarawak harus diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh DUN dibubarkan.
 
“Pada masa yang sama, tempoh (darurat) ini akan menyekat ahli-ahli politik yang cuba mengancam kestabilan politik negara dan pentadbiran kerajaan.
 
“Segala hal berkaitan Parlimen akan ditangguh buat sementara waktu,” katanya ketika ditemu bual pada Selasa.
 
Menurut Abdul Karim, pengisytiharan darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merupakan langkah yang wajar diambil bagi menghentikan rantaian COVID-19.
 
Pada Selasa, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat dilaksanakan.
 
Beliau berkata, tindakan itu bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 seperti mana yang terjadi selepas PRN Sabah baru-baru ini.

Tiada ulasan: