HALAMAN SANTAI

Ahad, 10 Januari 2021

Saya fokus kerja politik ‘belakang tabir’, kata Nurul Izzah

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar berkata, beliau kini memberi fokus kerja politik “di belakang tabir”.

Katanya, lebih ramai pemimpin patut berbuat demikian.

“Sebenarnya saya memang sudah berada di belakang tabir membuat kerja (politik). Lebih ramai pemimpin patut buat kerja di belakang tabir.

“Saya rasa itu lebih sihat kepada organisasi dan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penubuhan Biro Profesional Muda Pemuda PKR selepas ditanya apakah kemunculannya di majlis itu merupakan isyarat beliau akan kembali aktif di dunia politik selepas sekian lama menyepi.

Pada 20 Dis lepas, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata, Nurul Izzah perlu membuat keputusan sama ada akan kembali memainkan peranan aktif dalam kepimpinan politik arus perdana.

Kenyataan itu menyusuli gesaan supaya pemimpin muda tampil ke hadapan dan Nurul Izzah antara nama yang disebut-sebut.

Ini berikutan kemelut yang berlaku dalam kepimpinan Pakatan Harapan (PH) susulan perbalahan mengenai hala tuju gabungan politik itu.

Pada Dis 2018, Nurut Izzah mengundur diri sebagai naib presiden PKR, iaitu sebulan selepas beliau terpilih ke jawatan itu apabila memperoleh undian terbanyak dalam pemilihan parti.

Pada Julai lepas, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, beliau akan menjalankan tugasan mengukuhkan organisasi dan jentera parti, tetapi enggan membabitkan diri dalam politik, mahupun terlibat dalam isu calon perdana menteri PH.

Selain Nurul Izzah, bekas naib presiden PKR Rafizi Ramli juga sebelum ini mengumumkan mengundur diri daripada politik pada 2019, selain berkata beliau lebih berminat menumpukan perhatian kepada kemajuan teknologi.

Tiada ulasan: