HALAMAN SANTAI

Ahad, 10 Januari 2021

'Saya sebut PRU jika banjir selesai, vaksin dah dimulakan' .

MALAYSIAKINI
 
Malaysiakini

Selepas dibidas kerana mencadangkan pilihan raya umum (PRU) diadakan ketika wabak Covid-19 masih melanda negara, Ahmad Maslan tampil mempertahankan pendiriannya.

Menurut Setiausaha Agung Umno itu, apa yang dicadangkan ialah PRU diadakan selepas banjir reda dan vaksinasi Covid-19 telah dimulakan ke atas penduduk di negara ini.

"Saya sebut PRU jika banjir selesai, vaksin dah dimulakan.

"Kempen (PRU) guna media sosial," katanya menerusi laman sosial Twitter hari ini.

Ahmad berkata dia juga meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan bahawa PRU boleh diadakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Saya sebut SPR nyatakan dalam (Akhbar) #Sinar dan #Star, OK PRU dengan SOP yang ketat.

"Jika boleh ke kedai, pasar raya, restoran beratur setiap hari kenapa tak boleh cuma satu hari beratur mengundi dengan SOP ketat," katanya.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), Khairy Jamaluddin baru-baru ini berkata Malaysia akan melakukan vaksinasi dalam tempoh kurang 18 bulan bermula Februari ini setelah ketibaan bekalan pertama vaksin Covid-19.

Untuk rekod, Kementerian Kesihatan (KKM) mengunjurkan bahawa negara ini dijangka merekodkan peningkatan jumlah kes Covid-19 sehingga 8,000 kes sehari pada akhir Mei, jika kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) berterusan pada 1.1.

Minggu lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca buruk yang mengakibatkan banjir, khususnya di Pahang dan Johor akan berakhir dalam tempoh terdekat, sama ada pertengahan atau minggu ketiga Januari.

Secara keseluruhan, MetMalaysia menjangkakan Monsun Timur Laut akan berakhir pada pertengahan atau minggu ketiga Mac. 

Kelmarin, dalam satu program bersama Umno Perak, Ahmad berkata dia ditunjukkan temu bual media dengan seorang pemarut kelapa yang tidak bersetuju PRU diadakan ketika wabak Covid-19 masih melanda.

Jawab Ahmad, banyak negara sudah melakukan pilihan raya, antaranya Amerika Syarikat dan Singapura, malah pilihan raya kecil (PRK) di Chini, Slim dan pilihan raya negeri (PRN) Sabah juga diadakan ketika wabak melanda negara ini.

“Rasanya yang parut kelapa tadi itu dia tidak perasan, yang ditemu bual sebagai suara akar umbi (rakyat) itu tidak tahulah hanya lepasan sekolah tinggi kot.

"Kalau dari UIA (Universiti Islam Malaysia) atau ada PhD, saya rasa dia boleh ulas dengan lebih tepat,” kata Ahmad.

Tindakan pemimpin Umno itu membuat perbandingan di antara tukang parut kelapa dengan pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) diselar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Kata Lim, kenyataan Ahmad itu adalah suatu kesombongan dan menghina pekerja biasa yang menolak idea agar PRU diadakan semasa Covid-19 masih mengancam rakyat negara ini.

Tiada ulasan: