HALAMAN SANTAI

Sabtu, 16 Januari 2021

Semua MP tak sokong PM kena berunding segera, kata Pemuda Pejuang

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Pemuda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mencadangkan agar semua ahli parlimen yang tidak bersetuju dengan Perikatan Nasional (PN) segera beruding dan memindahkan sokongan mereka kepada individu tertentu.

Langkah itu kata ketuanya Abu Hafiz Salleh Hudin akan membolehkan Yang di-Pertuan Agong menggunakan kuasa mutlak baginda untuk melantik seorang perdana menteri baru selaras dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Kata Abu Hafiz tindakan beberapa ahli parlimen Umno menarik balik sokongan mereka daripada PN semata-mata tidak akan mendorong Muhyiddin Yassin melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri.

Malah katanya kuasa yang diperuntukkan kepada perdana menteri semasa darurat sekarang memungkinkan Muhyiddin kekal berkuasa.

"Namun Agong mesti diyakinkan bahawa sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat telah diberikan kepada individu lain yang lebih berupaya untuk menangani wabak Covid-19 dengan komitmen dan hala tuju yang jelas, berstrategi dengan perspektif yang baru serta dibantu pasukan jemaah menteri yang lebih mantap dan berfungsi," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Agong pada 12 Jan lalu berkenan dengan pengisytiharan darurat selepas menerima saranan daripada kabinet sehari sebelum ini.

Pengisytirahan itu didakwa dibuat sebagai langkah kerajaan mengekang penularan Covid-19 dengan kes baru harian kini mencecah empat angka.

Pada masa sama pengkritik meragui alasan yang diberikan kerajaan sebaliknya mendakwa ia sekadar langkah mengelakkan PN dan Muhyiddin dijatuhkan.

Jaminan cuma janji manis politik 

Ia berlaku ketika seorang demi seorang ahli parlimen Umno mengumumkan mereka tidak lagi memberikan dukungan kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Abu Hafiz berkata dia berasa gusar apabila membawa Seksyen 12 (4) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang memberi gambaran bahawa kerajaan PN akan terus berkuasa sekiranya darurat tidak ditamatkan walaupun melepasi tempoh tempoh lima tahun dari tarikh mesyuarat pertama Dewan Rakyat diadakan.

"Tindakan-tindakan yang dibuat Muhyiddin mutakhir ini membayangkan bahawa beliau ingin terus berkuasa sehingga parlimen dibubarkan oleh Agong atas nasihatnya sendiri," katanya.

Sungguhpun Parlimen tidak lagi boleh bersidang ketika ini, kata Abu Hafiz, Perkara 43 (2) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa perdana menteri mestilah dilantik dalam kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat yang mempunyai sokongan majoriti masih berkuat kuasa.

"Demikian juga halnya Perkara 43 (4) yang menghendaki seorang perdana menteri meletakkan jawatan sekiranya telah terbukti hilang sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat," katanya.

Tambah Abu Hafiz wujud kelompongan dalam peruntukan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dan membuka ruang manipulasi politik jika ia tidak disemak semula secepat mungkin.

Katanya berbeza daripada jaminan perdana menteri pada 11 Jan lalu agar pelaksanaan tempoh darurat dibuat secara adil dan telus, ordinan tersebut tidak menyatakan secara jelas bahawa jawatankuasa bebas yang bakal dibentuk dan dilantik Agong berfungsi - antara lain - untuk menasihati baginda sama ada darurat besar masih berlaku atau menamatkan proklamasi lebih awal.

"Hal ini menguatkan andaian bahawa nasihat kepada Agong kelak - sama ada meneruskan tempoh kuat kuasa proklamasi darurat atau menamatkannya lebih awal - hanya akan dibuat oleh perdana menteri secara bersendirian.

"Tanpa wewenang undang-undang, jaminan lisan perdana menteri hanyalah kekal janji manis politik," katanya.

Tiada ulasan: