HALAMAN SANTAI

Sabtu, 9 Januari 2021

Tolak PRU15 sehingga perebakan Covid-19 lebih terkawal

HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: Lajnah Kesihatan PAS Pusat berharap Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak diadakan lebih awal berikutan peningkatan kes jangkitan positif Covid-19 semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.

Pengerusinya, Dr Mohd Mazri Yahya berkata, mengadakan PRU dalam masa terdekat hanya akan memburukkan keadaan tambahan pula suasana pandemik Covid-19 yang kini semakin kritikal.

“Kami juga sedia maklum dengan peranan besar kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia sepanjang pandemik ini. Jumlah kes baru dan jumlah kematian harian mendukacitakan kita
semua.

“Pada masa yang sama, kami bersetuju bahawa Covid-19 ini sudah berada di dalam komuniti. Ramai yang positif tanpa disedari telah merebakkan virus ini kepada yang lainnya.

“Justeru, tiada cara untuk mengekangnya melainkan kita sendiri mengamalkan SOP yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” kata Dr Mohd Mazri dalam satu kenyataan hari ini.

Pihaknya juga memandang serius usaha sesetengah pihak yang mendesak supaya pilihan raya diadakan lebih awal.

“Lajnah Kesihatan PAS Pusat menggesa agar sebarang usaha ke arah Pilihan Raya Umum ke-15 yang pramatang hendaklah ditolak sehingga perebakan Covid-19 lebih terkawal atau sasaran vaksinasi telah tercapai.

“Pada masa yang sama, kami ingin mencadangkan agar semua parti politik supaya mengurangkan suhu politik dalam negara dan bersama dengan Kementerian Kesihatan
Malaysia di dalam memerangi pandemik ini,” tambahnya.

Semalam, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan PAS tiada keperluan mengadakan PRU ketika ini kerana rakyat sedang berdepan masalah banjir dan penularan pandemik Covid-19. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: