HALAMAN SANTAI

Isnin, 11 Januari 2021

UMNO teruk dikecam cadang usul PRU15

Siti Hafidah

Mungkin lepas menang, dakwaan mahkamah dibuang, itu motif PRU?

BANGI – Gara-gara mahu mempertahankan usul UMNO supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan teruk dikecam netizen.

Sebelum ini, Ahmad Maslan membangkitkan persoalan dengan berkata, jika boleh ke kedai, pasar raya, restoran beratur setiap hari kenapa tak boleh cuma satu hari beratur mengundi dengan SOP ketat?

Dalam ciapan di Twitter, beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) turut menegaskan, kempen pilihan raya bukan satu masalah kerana boleh dilakukan secara dalam talian.

“Saya sebut PRU jika banjir selesai dan vaksin dimulakan.

“Saya juga sebut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nyatakan boleh PRU dengan SOP ketat,” katanya.

Tinjauan Ismaweb.net mendapati, rata-rata pengguna media sosial menempelak gesaan UMNO supaya PRU15 diadakan dengan segera kononnya bagi memastikan pembentukan kerajaan baharu yang memperoleh mandat rakyat.

Netizen dikenali sebagai Hariss Toh secara sinis berkata, pemimpin UMNO yang didakwa di mahkamah yakin bahawa kes mereka akan digugurkan sekiranya parti itu menang pilihan raya.

“Kenapa mereka ini nak sangat dengan pilihan raya ke-15? Mereka ingat lepas UMNO menang, dakwaan mahkamah terhadap mereka akan dibuang! Ini motif mereka yang nak PRU,” katanya.

Bagi Sarizal Saad pula, gesaan itu tidak ubah seperti ahli politik mahu menyelamatkan diri sebelum kerajaan bertukar sekali lagi.

“Kenapa kalut sangat nak PRU? Alasan kerajaan tak kukuh majoriti sikit bila-bila masa boleh tumbang.

“Kalau kamu dan rakan-rakan dalam kerajaan hari ini pakat perkukuh tak bagi tumbang macam mana boleh nak tumbang. Ini tidak masing-masing nampak nak selamatkan diri sebelum kerajaan bertukar tangan sekali lagi,” katanya sinis.

Sementara Hamdan Abu Hassan pula yakin meskipun proses mengundi boleh tetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) kerana ada petugas yang menjaga, namun semua SOP akan dilanggar ketika berkempen.

“Akhirnya rakyat yang menderita. Selepas tamat PRU kira penuh katil hospital salahkan KKM pulak. Frontliners dah jadi hamba COVID-19.

“Mengundi bukan keperluan untuk rakyat. Rakyat perlu kerja dan perlu hidup normal bukan norma baru pakai pelitup muka sebab ketamakan segelintir manusia yang tak sabar nak pangkat dan duit,” katanya.

Tiada ulasan: