HALAMAN SANTAI

Jumaat, 11 Jun 2021

Abdul Latif Bandi selesa tak berpolitik

WhatsApp-Image-2021-06-10-at-23
Abdul Latif Bandi

MERSING – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Datuk Abdul Latif Bandi kini lebih selesa bersama gabungan badan-badan bukan kerajaan (NGO) daripada memikirkan hal politik sepenuh masa.

Tidak menolak perlunya mengambil tahu hal-hal berkaitan politik namun apa yang dilakukan hari ini adalah sesuatu yang lebih menenangkan jiwanya.

“Saya kini bersama Sahabat Mersing (Same) yang turut bergabung dengan lebih 50 NGO lain di Mersing yang terdiri daripada pelbagai aspek dan kepakaran.

“Kami bergabung di bawah Same dan menariknya, tidak ada penglibatan badan-badan politik dan kami bebas memilih siapa sahaja untuk bersama kami.

“Hak ahli untuk menyertai mana-mana parti politik tetapi bila bergabung dalam Same, kami ketepikan ‘bendera’ politik masing-masing,” katanya ketika dihubungi semalam.

Abdul Latif yang merupakan Penasihat Kehormat Same memberitahu, tujuan utama gabungan NGO ini adalah untuk mendekati dan membantu rakyat dalam apa jua keadaan.

“Banyak aktiviti kemasyarakatan telah kami lakukan baik daripada segi bantuan makanan, kewangan dan sebagainya malah hebahan maklumat juga turut kami lakukan demi kesejahteraan rakyat di Mersing.

“Kena pula sekarang ni musim Covid-19, kami turut sama menjalankan tanggungjawab membantu kerajaan dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai,” jelasnya.

Tambah Abdul Latif lagi, sesiapa sahaja boleh menyertai Same asalkan bertujuan untuk membantu rakyat.

“Nak masuk Same kami alu-alukan tetapi jangan ada terselit agenda politik. Itu kami akan tolak sekiranya kedapatan ahli yang cuba bermain politik dalam Same.

“Malah kami turut mempelawa ahli-ahli politik yang berminat untuk bersama Same asalkan mahu membantu rakyat tanpa ada agenda politik.

“Lagi satu, syarat menyertai Same perlu di kalangan mereka yang ada kaitan dengan Mersing seperti anak jati, pernah bekerja di Mersing, pernah tinggal atau belajar di Mersing, berkahwin dengan orang Mersing dan sebagainya,” jelas Latif sambil mengajak orang ramai membuka laman sosial FB Sahabat Mersing.

Menyentuh tentang politik, Abdul Latif menjelaskan apa yang dilakukan bersama NGO sudah cukup memberi kepuasan dalam dirinya.

“Walaupun tak berpolitik, saya masih dapat membantu rakyat bersama rakan-rakan daripada NGO lain yang sangat menyenangkan hati.

“Saya selesa dengan melibatkan diri sepenuh masa dengan Same dan saya ikhlas melakukannya untuk rakyat,” katanya mengakhiri perbualan.

Abdul Latif yang merupakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor sebelum ini didakwa atas pertuduhan rasuah dan penyelewengan hartanah.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan membebaskannya setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap semua pertuduhan. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: