HALAMAN SANTAI

Jumaat, 18 Jun 2021

'Agong boleh arah parlimen bersidang tanpa nasihat PM'

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Anggota Jawatankuasa Khas Bebas Darurat, Noh Omar berkata Yang di-Pertuan Agong berhak mengarahkan parlimen bersidang tanpa perlu mendapat nasihat perdana menteri berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Tanjung Karang itu bersetuju dengan pandangan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berhubung kuasa Agong untuk memanggil sidang parlimen.

"Saya setuju dengan pandangan Ku Li (Tengku Razaleigh). Kalau Perlembagaan masih kuat kuasa, Artikel 55 mesti terpakai tetapi bila ada Ordinan Darurat maka Ordinan Darurat mengatasi perlembagaan maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengarahkan parlimen bersidang tanpa nasihat perdana menteri.

"Kalau Artikel 55 tidak terpakai maka Artikel 40 juga tidak terpakai.

"Ringkasnya Ordinan Darurat yang dibuat menurut Artikel 150 (2C) Perlembagaan Persekutuan bukanlah satu Undang-Undang Persekutuan.

"Pada menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong di bawah Ordinan Darurat, Yang di-Pertuan Agong tidak tertakluk di bawah Artikel 40 untuk bertindak menurut nasihat kabinet," kata Noh dalam satu hantaran di Facebooknya.

Perkara 55 adalah berkaitan dengan memanggil, memprorog dan membubarkan parlimen. Manakala Perkara 40 adalah berkaitan Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat.

Perkara 150 (2C) Proklamasi Darurat pula memperuntukkan: Sesuatu ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah mempunyai kuat kuasa dan kesan yang sama sebagaimana Akta Parlimen, dan hendaklah terus berkuat kuasa dan berkesan sepenuhnya seolah-olah ordinan itu ialah Akta Parlimen sehingga ordinan itu dibatalkan atau diungkaikan di bawah Fasal (3) atau sehingga ordinan itu luput di bawah Fasal (7); dan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memasyhurkan ordinan di bawah Fasal (2B) boleh dijalankan berhubung dengan apa-apa perkara mengenainya Parlimen berkuasa membuat undang-undang, tanpa menghiraukan tatacara perundangan atau tatacara lain yang dikehendaki diikuti, atau perkadaran jumlah undi yang dikehendaki diperoleh di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen.

Berdasarkan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin selaku ketua mesyuarat perlu memberikan notis sekurang-kurangnya 28 hari sebelum parlimen bersidang.

Darurat yang diisytiharkan sebelum berkuat kuasa dari 11 Jan ke 1 Ogos dan tertakluk pada perubahan dan kemungkinan untuk dilanjutkan.

Muhyiddin pada 15 Jun lalu berkata parlimen boleh dibuka semula apabila Malaysia memasuki fasa ketiga pelan pemulihan Covid-19.

Dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen itu, Muhyiddin berkata Malaysia dijangka memasuki fasa ketiga pemulihan pada September atau Oktober.

Bagaimanapun, Agong pada 16 Jun menzahirkan pandangan bahawa persidangan parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Pada hari sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan mengulas kenyataan istana, berkata meskipun Agong menyebut parlimen perlu bersidang secepat mungkin, namun baginda tidak menitahkan bila tarikh tepat untuk itu.

Kuasa pada Agong

Semalam, Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang memberi pandangan berhubung polemik mengenai parlimen perlu bersidang segera.

Katanya, perdana menteri tidak boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong melanggar Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan kerana di bawah peruntukan itu baginda bertanggungjawab memanggil parlimen dalam masa enam bulan daripada tarikh akhir persidangan parlimen yang lalu.

"Jika tidak, Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri telah melanggar perlembagaan dan sumpah jawatan," kata Tengku Razaleigh dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Noh berkata Seksyen 14 Ordinan Darurat secara spesifik menggantung operasi perlembagaan dalam hal memanggil atau memprorog atau menangguh sidang Parlimen.

"Kuasa itu diletakkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Maka, Yang di-Pertuan Agong di dalam menjalankan fungsi di bawah Seksyen 14 Ordinan Darurat, boleh bertindak menurut budi bicaranya, tanpa tertakluk kepada nasihat kabinet," katanya lagi.

Tiada ulasan: