HALAMAN SANTAI

Khamis, 17 Jun 2021

Agong titah sidang Parlimen perlu disegerakan

Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
AL-SULTAN ABDULLAH RI'AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan sesi Persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli Dewan Rakyat.

Titah Seri Paduka Baginda, Parlimen yang berperanan sebagai satu platform penting untuk wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19.

“Ahli-Ahli Dewan Rakyat boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat yang berada dalam kesempitan dan memulihkan semula ekonomi negara,” titah Baginda hari ini sebaik selesai Sesi Perbincangan Khas antara Yang di-Pertuan Agong Dan Raja-raja Melayu semalam.

Dalam sesi tersebut, difahamkan, kesemua Raja-Raja Melayu telah hadir kecuali Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail manakala Sultan Kelantan Sultan Muhammad V difahamkan tidak menghadirinya.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar jangkitan wabak Covid-19 dapat dilandaikan dengan segera dan berpandangan bahawa vaksinasi merupakan satu-satunya jalan keluar bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

“Kerajaan perlu bertindak tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan vaksinasi kepada rakyat agar matlamat untuk mencapai komuniti kelompok 80 peratus dapat dicapai secepat mungkin,” titah Baginda.

Titah Seri Paduka Baginda, kerajaan yang stabil dan kukuh perlu ada supaya dapat berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Al-Sultan Abdullah turut setinggi penghargaan kepada seluruh petugas barisan hadapan dan rakyat Malaysia yang bertungkus lumus mengorbankan masa dan penat lelah bagi menangani Covid-19.-UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: