Bernama
Anwar
berkata ketaasuban akan membawa kepada tindakan yang tidak 'selari'
dengan keputusan pimpinan parti. - Gambar fail/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR:
Semua ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) diingatkan supaya tidak terlalu
taasub kepada seorang pemimpin atau kumpulan kerana tindakan itu hanya
akan membawa kepada pemikiran tidak taat kepada parti.
Presiden
PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ketaasuban itu juga akan membawa
kepada tindakan yang tidak 'selari' dengan keputusan pimpinan parti.
"Kelemahan kita ini adalah kadang-kadang kita ini terlalu taasub dengan ketua sama ada saya atau yang lain.
"Oleh
yang demikian, fikiran kita tidak lagi taat kepada jemaah dan
kepimpinan tetapi kita izinkan wujudnya kelompok-kelompok," katanya
ketika menggulung perbahasan Kongres Nasional Tahunan PKR 2020 yang
berlangsung secara maya hari ini.
Ahli
Parlimen Port Dickson itu turut menegaskan bahawa bagi pihak yang tidak
bersetuju dengan ketetapan jemaah parti, perkara tersebut boleh dibawa
berbincang manakala mereka yang dahulunya merupakan sebahagian daripada
'kartel' juga harus diberikan ruang.
Terdahulu,
semasa sesi perbahasan, perwakilan Kedah Razaini Md Isa mencadangkan
supaya presiden parti mengadakan jajaran baharu bersama pelbagai pihak
bagi meringankan bebanan rakyat yang terkesan ekoran COVID-19 dan
melaksanakannya dengan pihak yang menerima prinsip perjuangan PKR.
"Kita
minta presiden dengan prerogatif beliau, kita beri wewenang (hak atau
kekuasan) untuk presiden laksanakan dan lipatgandakan usaha dapatkan
kembali mandat rakyat serta mengutamakan nasib rakyat terbanyak
berbanding kepentingan politik dan peribadi," katanya.
Perwakilan
Melaka Muhammad Asri Ibrahim pula merakamkan penghargaan kepada semua
petugas barisan hadapan yang telah berkorban masa dan tenaga sepanjang
pandemik COVID-19.
Beliau turut mencadangkan supaya masjid dan
dewan serba guna sedia ada di seluruh negara dijadikan sebagai pusat
pemberian vaksin (PPV) bagi membolehkan negara segera mencapai imuniti
kelompok.
"Saya juga ingin cadangkan
kepada kerajaan agar semua penjawat awam yang telah memberikan khidmat
dengan penuh tanggungjawab sepanjang pandemik ini diberikan insentif
penebusan gantian cuti rehat (GCR) bagi meringankan beban mereka,"
katanya.
Sesi perbahasan yang berlangsung sepenuhnya secara dalam talian itu disertai 16 pembahas dari seluruh negara.
Terdahulu, kira-kira 2,000 perwakilan menyertai kongres itu secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom bermula 8 pagi.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan