HALAMAN SANTAI

Selasa, 8 Jun 2021

Amanah Johor kecewa PPV dijadikan tempat kempen politik

UTUSAN ONLINE
GAMBAR tular memaparkan seorang penerima vaksin menerima sumbangan yang tertera logo UMNO dan BN ketika mendapatkan suntikan di PPV, Simpang Renggam, Johor.

JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (Amanah) Johor meluahkan kekecewaan mereka apabila Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Simpang Renggam, dekat sini dijadikan kesempatan untuk UMNO menjalankan kempen politik mereka.

Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan mendakwa, tindakan UMNO menyampaikan barangan sumbangan dengan meletakkan logo parti itu telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, tindakan sedemikian tidak wajar dilakukan dan ia perlu dihentikan serta-merta.

“PPV seharusnya menjadi satu lokasi yang bebas daripada sebarang unsur politik kerana tujuan pembukaannya adalah memberikan vaksin Covid-19 kepada semua pihak tanpa mengira sokongan politik mereka.

“Sehubungan itu kami berasa dukacita perkara sedemikian berlaku dan mahu pihak berwajib seperti Kementerian Kesihatan atau pengendali PPV mengambil langkah tegas bagi memastikan ia tidak berulang,” katanya di sini hari ini.

Semalam tular di media sosial beberapa keping gambar yang menunjukkan barangan sumbangan diberikan kepada PPV di Simpang Renggam yang tertera logo UMNO dan Barisan Nasional (BN) selain memaparkan beberapa gambar pemimpin di kawasan itu.

Aminolhuda yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor berkata, tindakan sedemikian dilihat seolah-olah memerangkap rakyat yang berkunjung ke sana.

“Dalam situasi berkenaan, mereka tidak dapat mengelak kerana kunjungan mereka dibuat semata-mata untuk mendapatkan suntikan vaksinasi seperti yang diminta kerajaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tiada ulasan: