HALAMAN SANTAI

Ahad, 20 Jun 2021

Angka, prosedur lindungi Muhyiddin daripada usaha digulingkan

Nur Shazreena Ali

Penganalisis berkata perdana menteri akan kekal di kedudukannya walaupun rundingan dilakukan pemimpin utama pembangkang dan kemungkinan berlaku undi tidak percaya ketika Parlimen bersidang semula.

Penganalisis dan pemerhati politik mempersoalkan kemungkinan Muhyiddin Yassin kehilangan kuasa sekiranya Parlimen bersidang semula, walaupun mempunyai majoriti rapuh dan pendedahan menunjukkan wujud rundingan baru dalam kalangan pemimpin utama pembangkang susulan siri pertemuan Yang di-Pertuan Agong bersama ahli-ahli politik di Istana Negara minggu lalu.

Mereka berkata bukan sahaja pembangkang masih kekurangan angka sokongan bagi menubuhkan kerajaan, tetapi terdapat beberapa prosedur terpaksa dilakukan menyebabkan Parlimen memerlukan masa bersidang sebelum sebarang usaha menjatuhkan perdana menteri dilakukan.

“Tidak akan ada usul undi tidak percaya melainkan terdapat persetujuan speaker,” kata penganalisis James Chin kepada MalaysiaNow.

“Hanya speaker Dewan Rakyat sahaja yang boleh bawa usul undi itu – orang lain tidak boleh.”

Terdapat ura-ura yang beredar semula dalam kalangan pemimpin pembangkang yang mengatakan pertukaran kerajaan boleh dilakukan susulan kenyataan dilihat sebagai tekanan dari istana terhadap Putrajaya agar membuka semula Dewan Rakyat untuk bersidang selepas digantung sejak Januari lalu ekoran darurat kesihatan.

MalaysiaNow juga melaporkan rundingan-rundingan baru yang dilakukan antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan sekumpulan ahli Parlimen Umno diketuai Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak.

Turut didedahkan ialah sebuah persetujuan untuk menubuhkan penjajaran politik yang lama tertangguh dan akan dimeterai sedikit masa lagi.

Bagaimanapun, Chin tidak yakin Muhyiddin dapat digulingkan.

Beliau sangsi Anwar mampu mendapatkan angka sokongan daripada sekurang-kurangnya 111 ahli Parlimen dengan komposisi Dewan Rakyat ketika ini bagi menggulingkan Muhyiddin.

Beliau berkata, Muhyiddin masih memiliki sekurang-kurangnya sokongan 90 ahli Parlimen ketika ini.

“Dia hanya perlukan 20 orang lagi. Dan perlu diingat, Umno juga sudah berpecah,” kata Chin.

Ketika ini sukar untuk menentukan pendirian ahli-ahli Parlimen, dipercayai gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipercayai memiliki 50 sokongan dari Bersatu, PAS dan Star selain 62 lagi sokongan dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), Barisan Nasional, PBS dan beberapa ahli Parlimen bebas.

Sementara itu, pembangkang pula terdiri daripada beberapa blok, termasuk Pakatan Harapan, Warisan dan parti kecil Pejuang yang diketuai Dr Mahathir selain bekas menteri Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menubuhkan parti baru.

Lee Kuok Tiung turut bersetuju Anwar masih tidak memiliki angka sokongan yang diperlukan bagi menggulingkan kerajaan PN.

“Dalam Umno, kita boleh tengok beberapa daripada mereka yang mahukan kestabilan politik,” kata ahli akademik dari Universiti Malaysia Sabah itu.

“Malahan, Nazri Aziz pun baru-baru ini keluarkan kenyataan mengatakan ahli Parlimen tidak perlu bercakap mengenai pilihan raya dan tumpukan kepada kebajikan rakyat dan cara menangani pandemik,” kata Lee, merujuk ahli Parlimen Padang Rengas dari Umno yang menarik sokongannya kepada Muhyiddin awal tahun ini.

Penganalisis politik Sarawak Jeniri Amir turut menyatakan kesangsiannya mengenai sebarang usaha menggulingkan kerajaan, mengatakan usaha tersebut akan memberikan kesan terhadap pemimpin dan parti politik di peringkat nasional.

Beliau bersetuju pembukaan semula Parlimen akan memberikan peluang semak dan imbang terhadap polisi-polisi kerajaan dalam memerangi pandemik Covid-19.

“Parlimen adalah platform terbaik bagi ahli-ahli Parlimen berdebat mengenai langkah-langkah yang dicadangkan kerajaan dan suarakan harapan rakyat sepanjang keadaan yang sukar ini.

“Fokus ketika ini mestilah mengenai cara menangani Covid-19, meningkatan kadar vaksin dan cara menghadapi krisis ekonomi. Jika tidak, mereka akan dilihat hanya mementingkan kuasa daripada perkara lain.”

Jeniri turut menambah sebarang usaha mengganggu kestabilan kerajaan akan dilihat melawan titah Agong.

“Memang boleh jika nak tukar kerajaan, namun sekali lagi persoalan akan timbul, adakah pada waktu kritikal ketika ini sesuai? Sedangkan titah Agong mahu pastikan kestabilan dalam kerajaan?” soalnya dan menambah Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Putrajaya menyasarkan Parlimen dibuka pada September atau Oktober depan tertakluk kepada situasi Covid-19 dalam negara.

Tiada ulasan: