HALAMAN SANTAI

Ahad, 20 Jun 2021

Anwar bidas pemimpin tidak hayati permasalahan rakyat

Manzaidi Mohd Amin
MG-HQ-ANWAR-25052021_01
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Untuk tahu dan faham keadaan ekonomi negara sekarang, masyarakat perlu mendapatkan penerangan serta penjelasan dari pakar ekonomi, bukan menteri.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jika rakyat bertanyakan menteri sudah tentu jawapannya konon pelaburan masih baik dan meyakinkan, ekonomi terkawal dan rakyat hidup selesa.

“(Jawapan) ini purbakala. Pimpinan yang tidak faham masalah berlaku di bawah dan derita rakyat kerana mereka hidup selesa, elaun tinggi, kerja semakin berkurangan. Sebab itu, mereka tidak dapat memahami, menghayati erti permasalahan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Dasar Presiden ketika merasmikan Kongres Nasional Keadilan ke-15 yang diadakan secara maya, hari ini.

Anwar turut menyentuh mengenai unjuran ekonomi negara yang disifatkan jauh menyimpang daripada sasaran, tidak lagi tepat dan bercanggah dengan unjuran yang dikeluarkan oleh pakar ekonomi.

Oleh itu, kata beliau, Malaysia kini sudah berada dalam kemelesetan ekonomi dengan unjuran yang dibentangkan oleh menteri untuk tahun ini juga tidak meyakinkan.

“Kita (kalau) nak faham ekonomi, bukan dari menteri. Menteri kalau kita tanya, mereka mesti akan jawab, pelaburan masih baik, meyakinkan, ekonomi terkawal, rakyat selesa, ini semua cerita purbakala.

“Kita juga tahu dengan penutupan kilang-kilang yang mencecah ratusan ribu, sebagai dinyatakan Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Malaysia. Semua ini hakikat yang sedang berlaku,” katanya.

Anwar berkata, dalam keadaan pentadbiran kerajaan sekarang yang tidak menentu dan gagal sepenuhnya, beliau mahu semua kepimpinan PKR menyingkap semula perjuangan parti itu.

Katanya, dalam perjuangan Keadilan, agenda utama parti itu sedaya upaya untuk membawa perubahan iaitu politik bukanlah satu percaturan untuk merebut kuasa di peringkat elit.

“Sekarang ini ramai yang cuba pertahan atau merebut jawatan, walaupun tidak lagi mewakili inspirasi rakyat. Mereka tidak peduli, rakyat tidak cukup makan pun tidak apa.

“Yang penting, mereka cari jalan pintas untuk kaya dan berkuasa. Ini dinamakan golongan elit puaka, yang tidak merasai rintihan rakyat, tetapi merasakan kuasa itu boleh direbut semata-mata dengan kekayaan.

“PKR tidak akan berganjak dari pandangan ini. Pada kita, kuasa itu akan dipikul sebagai satu amanah dan mesti mewakili aspirasi rakyat. Kalau tidak, kita khianat sepertimana pengkhianat-pengkhianat besar yang lain,” ujarnya.

Beliau juga menyatakan, bahawa Malaysia perlukan perubahan sistem pentadbiran dan itulah yang diperjuangkan oleh PKR sejak ditubuhkan, walaupun ada yang bertanya kenapa masih tidak dapat menjadi kerajaan.

“Saya sebutkan kepada mereka, bahawa kita (PKR) adalah parti perjuangan. Kita berjuang nak mengubah sistem, dari sistem yang korup, angkuh kuasa kepada sistem yang bersifat adil untuk semua,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: