HALAMAN SANTAI

Sabtu, 19 Jun 2021

Anwar dan PH semakin teruja dapat PM baharu apabila Parlimen dibuka


Pakatan Harapan menanti Ketua mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk ditabal Perdana Menteri baharu sebaik Parlimen dibuka nanti.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin teruja untuk menjadi bakal Perdana Menteri (PM) baharu dengan membayangkan akan memperoleh sokongan majoriti Ahli Parlimen (MP) sebaik sidang Parlimen dibuka nanti.

Calon PM blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) itu tidak dapat menyembunyikan keterujaannya dengan berterusan mendesak agar Tan Sri Muhyiddin membuka Parlimen dengan segera dan memintanya berundur dengan secara terhormat bagi memberi laluan kepada beliau untuk memimpin negara.

“Kalau kamu enggan, secara baik secara terhormat, selamatkan negara, selamatkan ekonomi, dan biar pengendalian penyelesaian masalah Covid-19, dirangka dilaksanakan secara lebih baik/.

“Maka secara terhormat kamu harus undur, dan letak jawatan, itu pendirian PH yang didukung oleh majoriti Ahli Parlimen dan rakyat negara ini,” katanya dengan yakin akan memperoleh sokongan itu dalam video yang dikongsi di akaun Facebooknya.

Anwar juga mengulangi pendirian PH yang mahu dirinya dilantik menjadi calon PM baharu seperti yang sudah dipersetujui.

Pada masa sama, beberapa sumber memberitahu Agenda Daily Anwar semakin hampir cukup mengumpulkan Akuan Berkanun (SD) yang menyokongnya untuk dipersembahkan kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Terdahulu, PH dalam satu kenyataan bersama juga membuat gesaan sama meminta Muhyiddin berundur jika sidang Parlimen tidak dibuka.

Baru-baru ini, Agong bertitah sesi Persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli Dewan Rakyat.

Titah baginda, Parlimen berperanan sebagai satu platform penting untuk wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19.

Susulan itu, blok pembangkang memberi desakan kepada kerajaan Perikatan Nasional untuk mematuhi titah Agong walaupun komitmen sudah diberikan sidang Parlimen akan dibuka sekitar September atau Oktober selepas vaksinasi imuniti berkelompok dicapai.

Kebimbangan kini, penularan Covid-19 yang masih pada kadar tinggi dan orang ramai juga sedang berdepan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh ketika ini yang sedang dilanjutkan.

Tiada ulasan: