HALAMAN SANTAI

Jumaat, 11 Jun 2021

Anwar hentikan polemik, darurat bantu negara bendung Covid-19 – Wan Saiful

MGF_03042021_MESYUARAT-MT-BERSATU_15
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta menghentikan polemik dalam suasana negara dilanda Covid-19 dan mempertikaikan kenapa Ketua Pembangkang itu mempertikaikan Ordinan Darurat.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Presiden PKR itu perlu memberi fokus kepada masalah yang dihadapi rakyat kini.

“Semalam, Anwar diberi perkenan berjumpa dengan Yang Dipertuan Agong (YDPA) di Istana Negara. Anwar harus sedar bahawa keputusan meletakkan negara di bawah Ordinan Darurat ini bukan sesuatu yang diambil mudah oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Perintah ini terpaksa dibuat bagi memastikan negara boleh memberi tumpuan kepada usaha memerangi Covid-19, dan memulihkan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Wan Saiful, perlu sedar YDPA dengan kebijaksanaan Seri Paduka telah pun memperhalusi cadangan dan nasihat yang diberikan oleh Perdana Menteri serta mengambil kira pandangan pelbagai pihak sebelum bersetuju dengan keputusan kerajaan melaksanakan perintah darurat.

Beliau juga menyindir Anwar yang didakwanya sudah sedar dirinya tidak pernah mempunyai cukup sokongan untuk membentuk kerajaan walaupun sering membohongi rakyat dengan dakwaan beliau ‘cukup nombor’.

“Apabila Anwar cakap tiada perbincangan mengenai pertukaran pentadbiran kerajaan sewaktu jumpa Agong, adakah ini menunjukkan Anwar sedar selama ini dia hanya mereka-reka cerita sahaja? Sudah tiadakah formidable numbers yang diuar-uarkan sebelum ini?” soal Wan Saiful.

Menurutnya, Anwar dan kepemimpinan PKR perlu lebih jujur dan berpendirian tetap terhadap YDPA dan institusi raja.

“YDPA telah berkenan mencemar duli berjumpa dan mendengar pandangan Anwar, tetapi lain pula sikap beliau ketika ada ahli-ahli PKR yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan biadap terhadap baginda kebelakangan ini.

“Contohnya kes video ahli PKR Iswardy Morni yang terang-terangan menghina Agong. Walaupun PKR berkata pendapat Iswardy tidak mewakili pendirian parti, tetapi Anwar sendiri tidak bersuara mempertahankan Agong dan institusi raja-raja Melayu.

“Baru-baru ini pula keluar cadangan daripada gerakan Agenda Reset Malaysia supaya YDPA berehat selama enam bulan dan menyerahkan tugas kepada Timbalan YDPA tetapi Anwar seperti biasa diam sahaja apabila YDPA diserang. Ini seolah-olah menunjukkan yang Anwar bersetuju dengan penghinaan kepada Raja-Raja kita,” katanya.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: