HALAMAN SANTAI

Selasa, 15 Jun 2021

Bakal bankrap Najib harap dapat moratorium, diskaun elektrik


Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. 
 
Susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang membenarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meneruskan notis kebankrapan RM1.69 bilion terhadap beliau, Datuk Seri Najib Razak dilanda ‘kemurungan’.

Sudah tentu bekas Perdana Menteri itu terfikir jika gagal membayar cukai yang dituntut LHDN, pastinya beliau akan diisytihar bankrap, sekali gus tersenarai dalam golongan muflis yang berdepan pelbagai kekangan, termasuk tidak layak menjadi Ahli Parlimen dan lain-lain.

‘Kemurungan’ yang melanda beliau itu turut diterjemahkan menerusi satu hantaran di Facebooknya seolah mengharapkan kerajaan memberi moratorium dan diskaun elektrik.

Meskipun umum mengetahui kekayaan dan kemewahan beliau bukan sedikit, namun menerusi perkongsian di Facebooknya, Ahli Parlimen Pekan itu merintih syahdu mengharapkan belas ihsan kerajaan membantu.

Memulakan hantaran “Terfikir Saya” Najib jelas menerusi imej wajahnya berharap agar bantuan dihulurkan susulan nasib yang dialaminya kini, apa lagi berdepan pelbagai tuduhan mahkamah yang membabitkan ratusan juta ringgit.

“Kenapa PKP boleh dibuat berulang kali, “Total” Lockdown boleh lanjut tapi moratorium automatik, diskaun bil elektrik, i-Sinar dan i-Lestari TAK boleh lanjut pula?,” katanya.

Namun, jika Najib benar-benar tidak ada wang untuk membayar bil elektrik, elok sangatlah penyokong kuatnya dalam UMNO mewujudkan tabung khas, tapi janganlah mengharapkan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) boleh meneruskan notis kebankrapan terhadap Najib.

Keputusan itu, sekali gus menuntut Najib menyelesaikan cukai kerajaan sebanyak RM1.69 bilion terhadap dirinya.

Sebelum itu, Najib gagal untuk mendapatkan penangguhan berhubung keputusan mahkamah yang berkaitan dengan tuntutan cukai berkenaan.

Najib mengemukakan permohonan berkenaan atas alasan notis yang dikeluarkan LHDN bertarikh 4 Februari lalu adalah berniat jahat, menindas dan penyalahgunaan proses mahkamah.

Kerajaan, melalui LHDN, memfailkan notis kebankrapan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur terhadap Najib selaku penghutang.

Berdasarkan notis itu, Najib perlu membayar RM1.69 bilion dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Februari 2021 iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000 dan setakat 4 Februari 2021, jumlah itu menjadi RM1,738,804,204.16.

Pada 22 Julai tahun lalus, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.

Tiada ulasan: