HALAMAN SANTAI

Jumaat, 18 Jun 2021

Beberapa NGO Islam nafi sokong darurat dilanjutkan

MALAYSIAKINI

 Malaysiakini

Beberapa NGO menyatakan kekesalan apabila nama pertubuhan mereka digunakan Gerakan Pembela Ummah (Ummah) sebagai sebahagian daripada ratusan badan bukan kerajaan didakwa menyokong darurat dilanjutkan.

Jurucakap Sekretariat Aid4Palestine, Dr Suhazeli Abdullah, berkata pihaknya menafikan badan itu menyokong petisyen diterajui Ummah itu yang disiarkan di Harakahdaily.

"Sekretariat Aid4Palestine adalah gabungan NGO tanpa kecenderungan politik bagi membuat kutipan dana awam untuk membantu Palestin.

"Bukan tujuan utama Sekretariat Aid4Palestine ini ditubuhkan untuk menyokong kenyataan politik sedemikian.

"Pihak Sekretariat Aid4Palestine merasa kesal atas penggunaan nama NGO secara tidak bertanggungjawab itu. 

"Kami memohon pihak Ummah menarik balik senarai nama NGO yang berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu Harakahdaily yang juga lidah rasmi PAS menyiarkan kenyataan media Pengerusi Ummah, Mohd Zai Mustafa, yang menyatakan persetujuan supaya proklamasi darurat dikekalkan selama lapan bulan lagi selepas ia tamat pada 1 Ogos.

Tak minat campur tangan

Mohd Zai mendakwa kenyataan media itu disokong oleh 440 NGO Islam.

"Sementelah juga semua rakyat maklum bahawa suntikan vaksin telah, sedang dan akan berjalan dengan lancar bagi mencapai sasaran 150,000 suntikan sehari, dan dijangka mengambil masa selama 213 hari atau tujuh bulan lagi bagi 32 juta rakyat Malaysia.

"Maka, sekurang-kurangnya darurat perlu dikekalkan selepas 1 Ogos 2021 selama lapan  bulan lagi (sehingga Mac 2022) jika keadaan jangkitan dan suntikan vaksin mencapai sasaran sebagaimana yang dirancangkan oleh kerajaan," kata Mohd Zai dalam kenyataan itu.

Pada 12 Jan lalu, Yang di-Pertuan Agong memperkenan cadangan proklamasi darurat bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Darurat berkuat kuasa dari 11 Jan ke 1 Ogos dan tertakluk pada perubahan dan kemungkinan untuk dilanjutkan. 

Bagaimanapun, Majlis Raja-Raja yang bersidang pada Selasa lalu memutuskan tiada keperluan untuk melanjutkan darurat selepas 1 Ogos nanti.

Harakahdaily tampil memberi penjelasan berhubung perkara itu dan memaklumkan pihaknya hanya menyiarkan kenyataan media Ummah seperti mana diterimanya.

Jelasnya, pihak Ummah juga telah membuat pembetulan berhubung perkara itu.

Seentara itu Presiden Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Muslim Imran turut menafikan pertubuhan itu menyokong kenyataan media Ummah.

"PCOM tidak masuk campur dalam politik domestik Malaysia atau negara lain. Kami menghormati semua pihak tetapi tidak berminat untuk campur tangan dalam politik tempatan.

"Kami hanya melihat pernyataan tersebut setelah dikeluarkan dalam berita, dan tidak pernah dimaklumkan atau diminta untuk menandatangani.

"Fokus utama PCOM adalah perjuangan untuk Palestin yang bebas dan peningkatan hubungan rakyat Palestin Palestin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pendakwah bebas, Firdaus Wong turut menafikan pertubuhan Multiracial Reverted Muslims (MRM) terbabit dengan kenyataan itu.

Katanya, MRM tidak pernah dihubungi mana-mana pihak berkenaan kenyataan berkenaan apatah lagi bersetuju dengannya.

"Saya juga telah berhubung dengan Presiden Islamic Propagation Society International (IPSI), Kamarudin Abdullah dan Presiden Global Unity Network, Shah Kirit, mereka berdua juga menafikan NGO mereka bersetuju dengan kenyataan ini," katanya.

Bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir, pula meminta Ummah tidak menipu orang ramai apabila menggunakan nama Al-Quds Foundation Malaysia dalam senarai mereka.

"Saya mohon Gerakan Pembela Ummah & @harakahdailyHD keluarkan nama Al-Quds Foundation Malaysia dari senarai NGO Islam yg kononnya sokong darurat dikekalkan.

"Jangan tipu rakyat. #KerajaanGagal," tulisnya di media sosial.

Tiada ulasan: