HALAMAN SANTAI

Rabu, 9 Jun 2021

Bekas menteri besar Perak dilantik sebagai Setiausaha Agung BN yang baharu

PETALING JAYA: Bekas Menteri Besar Perak, Zambry Abd Kadir dilantik sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang baharu.

Beliau menggantikan Ahmad Maslan yang dilantik ke jawatan itu sebelum ini selepas penyandang, Annuar Musa dipecat dari jawatan itu Januari lalu.

Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin ketika dihubungi mengesahkan pelantikan Zambry

Dalam jawapan ringkasnya, Khaled hanya membalas “betul” ketika diminta mengesahkan pelantikan Zambry tanpa mengulas lanjut.

Pelantikan setiausaha agung BN yang baharu itu adalah yang kedua dibuat pada tahun ini.

Ahmad dilantik ke jawatan itu Januari lalu selepas Annuar dipecat dari jawatan berkenaan oleh Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi kerana didakwa membawa suara Bersatu dalam BN.

Zambry juga bekas Ketua Umno Perak dan memegang jawatan Menteri Besar dari 2009 hingga 2018.

Pada Ogos tahun lalu, beliau dilantik sebagai pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Sementara itu, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataannya hari ini berkata, pelantikan Zambry dibuat atas persetujuan bersama dan sebulat suara oleh semua parti komponen BN yang dihadiri Umno, MCA, MIA serta PBRS.

“Mesyuarat Dewan Tertinggi BN sebulat suara bersetuju melantik Zambry Abd Kadir sebagai setiausaha agung BN yang baharu.

“Mesyuarat Dewan Tertinggi BN juga telah sebulat suara bersetuju melantik Azlan Man sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Barisan Nasional Negeri Perlis yang baharu,” katanya.

Zahid berkata, pada mesyuarat itu, Dewan Tertinggi BN juga memutuskan untuk menambah kekuatan jentera parti daripada negeri-negeri bagi usaha membantu pendaftaran vaksin Covid-19 khususnya warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan penduduk di kawasan pedalaman.

Tiada ulasan: