HALAMAN SANTAI

Sabtu, 19 Jun 2021

Buka Parlimen untuk teliti isu berkaitan Covid-19, kata Warisan

MGF13092020_PERANG-BENDERA-SEMPORNA-4
Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Tujuan utama mengadakan semula sidang Parlimen adalah bagi memenuhi keperluan mendesak yang dialami negara ketika ini.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal berkata, dengan membuka semula Dewan Rakyat, ia akan membolehkan perbincangan Ordinan-Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara terutama yang melibatkan perbelanjaan berkaitan Covid-19 diteliti.

Malah menurut parti itu, ia akan mewujudkan situasi semak-imbang dengan lebih berkesan agar benar-benar memberi manfaat kepada rakyat khususnya.

“Perkara ini penting supaya tiada seorang pun rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19 ini tidak terbela nasib diri dan keluarganya.

“Wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat mempunyai tanggungjawab dan amanah besar bagi memastikan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan mereka dibela dan diambil peduli,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Warisan berkata, parti itu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar darurat tidak disambung selepas 1 Ogos depan.

Katanya, titah itu membuktikan bahawa Al-Sultan Abdullah dan Raja-raja Melayu amat prihatin akan kesusahan dan kepayahan rakyat di dalam negara ini, apabila dunia dilanda wabak Covid-19.

“Keputusan yang dizahirkan secara bersama oleh Majlis Raja-Raja adalah tepat kerana sepanjang tempoh pemerintahan darurat berlangsung sejak beberapa bulan yang lalu, angka korban Covid-19 yang direkodkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak menunjukkan sebarang penurunan, sebaliknya kes-kes positif semakin bertambah saban hari.

“Situasi ini amat membimbangkan bukan hanya memberi kesan yang teruk kepada keadaan ekonomi negara, malahan institusi kesihatan dan juga kesejahteraan serta keselamatan rakyat juga terjejas,” ujarnya.

Pada Rabu lalu, Al-Sultan Abdullah bertitah agar persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, perkara itu perlu dilaksanakan untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: